Kunjungan Sheikh Al-Azhar Perkasa Pendidikan Tahfiz Negara
KUALA KUBU BARU, 06 Julai 2024 – “Kunjungan Sheikh Al-Azhar ke Darul Quran hari ini telah memberi satu lagi dimensi baharu kepada pemerkasaan serta perkembangan pendidikan tahfiz di Malaysia khususnya buat pelajar-pelajar Darul Quran,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut beliau, kunjungan Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyeb ke Darul Quran merupakan satu detik sejarah buat seluruh penghafaz Al-Quran apabila tokoh ulama’ ulung dunia itu berziarah dan melihat sendiri kampus barakah Darul Quran.
Beliau juga secara peribadi memohon kepada Sheikh Al-Azhar agar dapat memberi pertimbangan membuka peluang lebih luas kepada para graduan Darul Quran JAKIM untuk melanjutkan pengajian, bukan sahaja di Maahad Qiraat Shoubra, tetapi juga dalam bidang lain di Universiti Al-Azhar.
“Al-Azhar Al-Syarief amat berjasa besar kepada umat Islam di Malaysia sejak zaman berzaman,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im juga menekankan, Kerajaan Malaysia terus komited dalam memperkasakan pendidikan tahfiz dan al-Quran menerusi pelbagai institusi swasta dan kerajaan.
Bidang tahfiz juga telah diperkenalkan di peringkat pengajian tinggi sebagai salah satu bidang dan nilai tambah bagi bidang-bidang profesional yang ditawarkan.