Kumpulan Kristian Puji Keputusan Mesir Absahkan 125 Gereja
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LONDON, 02 Disember 2022 – Christian Solidarity Worldwide (CSW), sebuah NGO Kristian memuji keputusan kerajaan Mesir mengabsahkan kedudukan 125 gereja di negara Islam itu.
Menurut laporan media antarabangsa, pada 14 November lalu, jawatankuasa kerajaan yang meneliti status gereja di Mesir, diketuai oleh Perdana Menteri, Mostafa Madbouly telah mengesahkan status 125 gereja dan tempat ibadat.
Pengumuman itu dibuat susulan mesyuarat serupa yang berlaku pada April yang membawa kepada pengesahan 239 gereja dan tempat ibadat.
Presiden Pengasas CSW, Mervyn Thomas berkata, “Laporan bahawa lebih banyak gereja telah disahkan di Mesir adalah menggalakkan, ia menjadikan jumlah gereja dan tempat ibadat yang diberikan status sah sejak 2017 lebih 2,500.”
Walau bagaimanapun, CSW berkata, undang-undang tetap diskriminasi kerana ketetapan yang sama tidak terpakai kepada rumah ibadat Muslim Sunni atau kumpulan agama lain seperti masyarakat Ahmadi, Baha’i dan Syiah.
Tambahnya, perkembangan tersebut menunjukkan komitmen Presiden Sisi untuk memperbaiki keadaan masyarakat Kristian Mesir.
Dalam pada itu, Mervyn turut menggesa Presiden dan kerajaan Mesir meneruskan perkara ini, dengan memastikan hak dan peruntukan yang sama dinikmati masyarakat Kristian ketika ini, diperluas kepada semua kumpulan agama dan kepercayaan di negara Islam itu.