Kumpulan Aktivis Bantah Cadangan Bina LRT P.Pinang
GEORGE TOWN, 08 Mei 2023 – Kumpulan aktivis membantah cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membina sistem transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang.
Menurut aktivis sosial, Lim Mah Hui, projek itu hanya akan menjadi satu ‘beban kewangan’.
“Walaupun kami gembira Kerajaan Persekutuan akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, kami telah lama menyatakan bahawa LRT itu sendiri bukanlah projek yang sesuai,” kata Lim.
“Ia akan menjadi beban kewangan, Kerajaan akan menanggung kerugian besar bagi tempoh yang lama, ia tidak mampan dari segi kewangan,” kata Lim, yang terdiri daripada antara pemimpin komuniti lain yang menggesa projek tebus guna tanah besar-besaran Selatan Pulau Pinang (PSI) turut dibatalkan.
BACA JUGA: Dakwaan Masalah Bekalan Air, MB Pahang Seru Henti Fitnah Kerajaan Negeri
BACA JUGA: LGBT: Mahkamah Agung Nepal Gesa Kerajaan Iktiraf Pasangan Sejenis
BACA JUGA: PDRM Serbu Lebih 500 Port Judi Online Di Johor
Bendahari Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Pulau Pinang, Zulfikar Aziz pula berkata, masalah seperti kekurangan bas dan pemandu yang dialami Rapid Penang serta bas-bas yang semakin uzur harus diselesaikan sebelum kerja-kerja pembinaan LRT dimulakan.
Kenyataan ini dilihat senada dengan Khoo Salma Nasution daripada Penang Forum yang berkata, masih terlalu awal untuk Putrajaya memulakan projek LRT kerana terdapat masalah lalu lintas lain lebih mendesak yang masih belum ditangani, seperti penggunaan bas yang rendah dalam kalangan penduduk Pulau Pinang.
“Jika bas kosong, bagaimana (projek) LRT hendak berjaya? Saya rasa, masih terlalu awal untuk Kerajaan Persekutuan bersetuju meneruskan projek LRT kerana kerajaan Pulau Pinang masih belum berusaha melaksanakan penyelesaian hubungan batu pertama dan terakhir.”
Justeru, Lim dan pemimpin masyarakat sivil yang lain meminta agar Putrajaya mempertimbangkan semula cadangan pembinaan LRT Pulau Pinang selain membatalkan projek tebus guna tanah.
“Kami harap mereka tidak teruskan (projek) LRT dan memikirkan semula pelan pengangkutan induk. Bagi rancangan mengurangkan tebus guna tanah, mereka juga harus membatalkannya sepenuhnya,” kata Lim.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju menambah dana dalam satu skim besar kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi membolehkan projek LRT segera dilaksanakan di negeri itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang keterlaluan.