TempatanTerkini

Kuil Tersalah Masuk Tanah Jabatan Agama – ADUN DAP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SEREMBAN, 21 September 2021 –“Pihak kuil telah memaklumkan, mereka secara tidak sengaja termasuk ke kawasan tanah milik JHEAINS semasa kerja-kerja membina pondok kecil di kawasan kuil itu”, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Repah, S Veerapan.

Rentetan pendedahan Samudera.my mengenai bantahan AJK masjid dalam isu tapak masjid tukar kuil Hindu di Tampin, Negeri Sembilan, pihak kuil akan bertindak untuk segera mengalihkan binaan mereka dalam masa terdekat. Demikian menurut kenyataan yang dibuat oleh YB S. Veerapan.

Ujar ADUN DAP itu lagi, “Mereka juga telah bersetuju untuk mengalihkan pondok tersebut daripada tanah rizab JHEAINS itu bagi memurnikan semula keadaan, tiada isu pun mereka mahu mengambil alih rizab masjid ini.”

Dalam masa yang sama, beliau juga telah dimaklumkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Tampin bahawa rizab tapak Masjid Taman Indah ini tetap kekal di situ, setelah ia diwartakan pada 19 Januari 2012, dan statusnya masih kekal sama sehingga kini.

“Saya tegaskan, tiada sebarang kerja pembinaan kuil dilakukan dekat tanah rizab masjid tersebut, dan tanah yang diambil secara tidak sengaja itu akan dikosongkan semula bagi memastikan tanah milik JHEAINS itu dikembalikan,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Samudera.my sebelum ini, memuatkan berita mengenai beberapa memorandum bantahan yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid di Negeri Sembilan berkenaan isu cadangan pengambilan tanah yang telah dirizabkan untuk masjid dan kubur umat Islam di negeri tersebut. Bantahan tersebut mendapat perhatian ramai termasuk respons dari Menteri Besar, YAB Aminuddin Harun.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya sebelum ini membangkitkan isu ini supaya ditangani dengan baik dan segera dan menuntut penjelasan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya tidak timbul sebarang keadaan yang berkemungkinan mengganggu ketenteraman awam.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button