Tempatan

Kuil Segambut Seratus Tahun: Ahli Politik DAP Tuntut Beri Tanah Kuil Baharu

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 6 April 2021 – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran dan ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mahu pemilik tanah/pemaju memberikan tapak baharu untuk Kuil Om Sri Maha Maduraiveeran di Segambut.

Tuntutan ini merupakan antara salah satu tuntutan yang dikemukakan mereka selepas kuil yang berasal dari Ladang Segambut Bukit Hijau dan didakwa berusia hampir 100 tahun itu mendapat notis perobohan dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Semalam saya dimaklumkan bahawa terdapat notis perobohan satu kuil di #Segambut,” tulis Hannah Yeoh dalam Facebooknya.

“Saya bersama Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dan Ahli Parlimen Ipoh Barat Kula Segaran ke Kuil Persatuan Penganut Om Sri Maha KakumMadurai Veeran KL untuk berjumpa peguam Dinesh Muthal & Co. yang berjaya mendapatkan perintah penggantungan notis perobohan.”

Ujar Hannah, walaupun berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk penangguhan perobohan rumah ibadat itu, beliau akan menulis surat kepada pemilik tanah/pemaju kawasan Kuil Om Sri Maha Maduraiveeran bagi membincangkan solusi yang dimahukan.

“Saya akan menulis surat kepada Pemilik Tanah/Pemaju memohon mengadakan satu pertemuan bagi membincangkan: (a) kebenaran untuk Kuil ini meneruskan di tapak yang sedia ada atau memohon Pemilik Tanah/Pemaju memberikan satu tapak baharu untuk mereka; dan (b) tempoh penangguhan perobohan dapat dilanjutkan sehingga (a) dicapai.”

Berikutan hal ini, S Rajah, seorang Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya akan berusaha untuk menyelaraskan syarat ‘kebebanan tanah’ seperti yang terdapat di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi memastikan pemilik tanah tidak boleh lari daripada tanggungjawab dalam memastikan pemindahan rumah ibadat dan premis lain di tanah miliknya.

“Buat masa ini, Pejabat Tanah dan Galian mempunyai satu syarat yang dikenali sebagai ‘kebebanan tanah’ di mana syarat itu memastikan pemaju tanah perlu bertanggungjawab terhadap surau, rumah ibadat atau premis lain yang berada di atas tanahnya semasa tanah itu dibeli.”

“Semasa pemaju membeli tanah daripada PTG, syarat ini dimasukkan dalam akujanjinya. Di bawah syarat ini, pemilik atau pemaju tanah perlu menyelesaikan isu tanah surau atau rumah ibadat yang berada di atas tanah sebelum membuat pembinaan baru.”

“Jadi, saya bercadang DBKL perlu selaraskan syarat seumpamanya di bawah Perintah Pembangunan (Development Order) supaya memastikan tidak lagi berlaku perobohan surau atau rumah ibadat bukan Islam di Wilayah Persekutuan pada masa depan,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, S Rajah memberitahu bahawa MIC Wilayah Persekutuan telah menyerahkan isu perobohan Kuil Om Sri Maha Maduraiveeran ini kepada Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam yang diketuai oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Edmund Santhara Kumar.

Leave a Reply

Back to top button