Antarabangsa

Kuil Dibina Atas Perkuburan Cetus Kemarahan Umat Islam India

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TRIPURA, 15 Julai 2022 – Tindakan melampau kumpulan Hindutva menceroboh dan mendirikan kuil Shiva di atas tanah perkuburan umat Islam telah mencetuskan kemarahan golongan minoriti itu baru-baru ini, lapor The Indian Express.

Ratusan orang termasuk sejumlah besar wanita Muslim melakukan satu protes menentang pencerobohan yang dibuat kumpulan Hindu Yuva Vahini dalam masa satu malam.

Menurut agensi media NDTV, mereka menuntut kerajaan negeri melaksanakan pembersihan segera di kawasan perkuburan tersebut sekali gus mengembalikannya kepada umat Islam.

Mereka juga mengatakan bahawa tanah perkuburan itu sudah lama berada di kawasan tersebut dan terdapat beberapa pihak yang sedang cuba mengganggu keharmonian kaum Muslim dan Hindu yang telah lama menetap secara aman di kawasan itu.

Nur Islam, seorang daripada mereka memaklumkan bahawa terdapat segelintir perampas tanah telah cuba menduduki kawasan tersebut secara haram sejak beberapa tahun lalu.

“Kami telah membawa perkara tersebut kepada pentadbiran beberapa kali sejak 2019. Mereka memberi jaminan bahawa tanah itu akan diletakkan sempadan namun tiada apa yang dilaksanakan. Sekumpulan penjahat datang pada malam tadi dengan sebuah jengkaut, merampas tanah itu dan mendirikan sebuah kuil,” ujarnya.

Kata Nur Islam, ia merupakan sebuah percubaan untuk mengganggu keamanan di negeri itu.

Isu ini turut mendapat perhatian Ashok Swain, seorang ahli akademik dan profesor penyelidikan keamanan dan konflik di Jabatan Penyelidikan Keamanan dan Konflik, Universiti Uppsala menerusi ciapan beliau,

“Umat Islam membuat bantahan di Tripura, India, kerana kumpulan sayap kanan Hindu telah menduduki tanah perkuburan mereka dan mendirikan kuil Shiva semalaman. Mereka tidak membiarkan umat Islam hidup dan mati dengan aman.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: