Tempatan

Kuasa Mahkamah Syariah Sama Dengan Kuasa Majistret Kelas Kedua – Shad Saleem Faruqi

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 15 April 2021 – Pakar Undang-Undang Perlembagaan Shad Saleem Faruqi berkata, kuasa Mahkamah Syariah membabitkan jenayah adalah setara dengan kuasa “majistret kelas kedua”.

“Jelas niat penggubal Perlembagaan pada 1957 adalah bahawa kesalahan Syariah pada dasarnya adalah kesalahan kecil.”

Ujarnya lagi dalam sesi webinar bertajuk “Freedom and Tolerance in Islam: Why We Need Some Rethinking” yang dianjurkan oleh G25 dan Edunity Foundation baru-baru ini, mana-mana fatwa atau perintah agama tidak boleh melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Mahkamah Sivil cenderung mengabaikan peruntukan berkenaan hak asasi dan begitu banyak fatwa dianggap seolah-olah berasingan daripada Perlembagaan”.

Jelas Shad Saleem, peraturan agama, etika dan moral bukanlah dikira undang-undang melainkan ia digabungkan ke dalam salah satu daripada tiga undang-undang merangkumi undang-undang bertulis, undang-undang lazim dan adat “sejauh mana ia diperakui”.

Dan bagi sarjana Turki, Mustafa Akyol pula, beliau mendakwa, kewujudan “polis” agama tidak akan menjadikan masyarakat lebih alim atau soleh.

Contohnya di Turki, tidak ada undang-undang Islam untuk memantau sama ada seseorang itu berpuasa pada bulan Ramadan atau tidak, tetapi majoriti orang Turki akan berpuasa.

“Kerana seseorang itu akan berpuasa bukan untuk polis, tetapi untuk Tuhan.”

Berbeza dengan Tehran, Iran di mana rakyatnya kurang mengamalkan ajaran agama berbanding dengan orang Turki walaupun Iran adalah sebuah negara Islam.

“Rakyatnya sudah muak dengan negara Islam. Dan sebilangan besar daripada mereka tidak lagi mengamalkan (ajaran Islam). Penegakan ketakwaan hanya membawa kepada kemunafikan, dan ini harus berakhir dalam dunia Islam,” dakwa Mustafa Akyol.

Menurut Pakar Perlembagaan merangkap Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM, Datuk Prof Dr Shamrahayu A. Aziz, moraliti di Malaysia adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan di mana Perlembagaan Persekutuan tidak menolak penerimaan al-Qur’an dan as-Sunnah.

“Moraliti kita ialah moraliti berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan itu tidak menolak penerimaan al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidak menolak!”

Manakala Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula menegaskan, di Malaysia, hukum syarak digazetkan bagi mewujudkan keseragaman.

Apabila ia digazetkan, maka ia wajib diikuti.

“Dalam sistem kerangka perundangan moden kita, apabila fatwa itu telah digazetkan, ia menjadi satu yang wajib diikuti kerana apa? Kerana kita nak standardization. Nanti hari ini orang puasa hari Rabu, esok orang lain puasa ikut sendiri. Itu yang kita perlukan standardization mengikut undang-undang kita.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button