Antarabangsa

Kanak-kanak Afghanistan Diberi Ubat Terapi Kemurungan Untuk Tahan Lapar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KABUL, 25 November 2022 – Krisis makanan yang semakin teruk mengakibatkan ibu bapa di Afghanistan memberikan anak-anak mereka ubat agar mereka tidak berasa lapar malah ada juga yang menjual organ dan anak mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Anak-anak kami sering menangis kerana lapar sehinggakan mereka tidak boleh tidur.”

“Tapi, kami tiada makanan untuk diberikan kepada mereka, oleh itu kami pergi ke farmasi untuk dapatkan ubat yang boleh buatkan mereka mengantuk dan tidur.”

“Jadi, mereka akan tidur dan lupakan seketika rasa lapar,” kata seorang bapa, Abdul Wahab.

Namun, bukan Abdul Wahab sahaja yang memberikan ubat kepada anak-anak supaya mereka tidur, malah ramai lagi ibu bapa mengambil tindakan yang sama.

Ghulam Hazrat, seorang lagi penduduk yang turut mengaku memberikan ubat kepada anak bongsunya yang berusia setahun.

Katanya, dia memberikan ubat alprazolam iaitu ubat yang sering diberikan kepada individu dengan masalah kemurungan kepada enam orang anaknya.

Selain itu, ubat escitalopram dan sertraline yang digunakan untuk merawat kemurungan juga diberikan kepada anak masing-masing.

Menurut farmasi tempatan, ubat-ubatan tersebut dijual dengan harga lebih murah berbanding makanan.

“Lima tablet ubat-ubatan dijual dengan harga kira-kira 10 sen USD bersamaan sekeping roti.”

Walau bagaimanapun, pakar perubatan berpendapat pemberian ubatan tersebut terhadap kanak-kanak yang tidak cukup nutrisi boleh menyebabkan hati mereka rosak, selain menyebabkan keletihan akut dan gangguan tidur serius.

Dalam pada itu, ada juga yang terpaksa menjual buah pinggang untuk membeli makanan dan membayar hutang keluarga.

“Saya tidak ada pilihan lain, saya perlukan duit untuk beli makanan, bukannya bermewah dan jual buah pinggang merupakan jalan terbaik,” ujarnya.

Tidak kurang juga, ada yang dipaksa menjual anak apabila haiwan peliharaan yang dibeli mati akibat banjir dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

“Kami dipaksa menjual anak kami yang berumur dua tahun jika tidak mampu membayar hutang.”

“Saya malu dengan situasi kami. Kadang-kadang saya berfikiran lebih baik mati daripada hidup begini.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: