Tempatan

Kuantan Rekod Kes Penderaan Kanak-Kanak Tertinggi Di Pahang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 17 Oktober 2022 – Kuantan mencatatkan kes penderaan kanak-kanak tertinggi di Negeri Pahang iaitu sebanyak 136 kes daripada 256 kes, lapor sebuah portal berita tempatan.

Lapor portal berkenaan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang merekodkan sejumlah 256 kes berkenaan dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Jumlah tersebut diikuti daerah Temerloh (35 kes); Pekan (25 kes); Maran (12 kes); Bera (10 kes); Jerantut (9 kes); Raub (8 kes); Lipis (7 kes); Cameron Highlands (7 kes) dan Bentong (4 kes).

Menurut Ketua Penolong Pengarah II JKM Pahang, Suryani Mohamad, serangan seksual menjadi kes penderaan tertinggi yang merekodkan sebanyak 140 kes membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun diikuti 76 kes penderaan fizikal dan 40 kes penderaan emosi.

“Perlakuan ke atas mangsa kebanyakannya oleh ahli keluarga, selain jiran dan rakan mangsa,”

“Pelbagai faktor menyebabkan berlakunya kes penderaan ini, antaranya kesempitan hidup, sikap panas baran dan tekanan,” jelasnya sewaktu Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak, semalam.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang kes penderaan pada kanak-kanak kepada pihak JKM daerah serta negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: