Kuantan Buka 1,775 Tapak Bazar Ramadhan, Aidilfitri
KUANTAN, 20 Mac 2023 – Sebanyak 1,775 tapak jualan bazar Ramadhan dan Aidilfitri disediakan di daerah ini oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sepanjang bulan Ramadhan.
Menurut Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, permintaan terhadap gerai jualan bazar Ramadhan dan Aidilfitri ini mendapat sambutan yang tinggi berbanding sebelum ini.
BACA JUGA: Menu Siswa Rahmah RM3.50 Bantu Pelajar B40
BACA JUGA: Solat Terawih: Selangor Larang Guna Khidmat Imam Luar Negara
BACA JUGA: Orang Melayu Lemah, Mudah Pihak Lain Jalankan Agenda
Kata beliau, sebanyak tujuh tapak bazar Aidilfitri dibuka yang disertai oleh 360 peniaga dan 33 tapak bazar Ramadhan yang disertai oleh 1,415 peniaga.
Ia dianjurkan oleh 27 pihak selepas mendapat kelulusan daripada MBK.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan peniaga terutamanya di bazar Ramadhan sentiasa mematuhi aspek kebersihan.
Malah, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat pemilik yang menyewakan permit mahupun gerai kepada pihak ketiga.
Dalam pada itu, beliau berkata peniaga juga dinasihatkan untuk berpakaian sopan, bertudung kepala dan dikehendaki memamerkan tanda harga pada setiap barangan jualan.
“Harga ditawarkan kepada pelanggan juga perlu berpatutan dan tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna dan kita akan meminta kerjasama pegawai serta kakitangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan,”
“Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan juga akan melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat aduan yang berkaitan berlakunya keracunan makanan berlaku pada pengguna,” jelasnya lagi.