Tempatan

Kuantan Bebas Kenderaan Setiap Bulan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 16 Mac 2022 – Kerajaan Pahang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tourism Pahang baru-baru ini melancarkan Program ‘Kuantan Car Free – Green Hour 2022’ yang akan berlangsung pada setiap bulan. Ia juga sebagai salah satu langkah dalam memulihara alam sekitar di Malaysia.

Program yang akan dijalankan di beberapa laluan utama Bandaraya Kuantan itu adalah bertujuan memberi sokongan terhadap inisiatif dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, program tersebut akan melibatkan penutupan jalan raya selama dua hingga tiga jam bagi membenarkan aktiviti riadah dijalankan.

“Ini merupakan minggu pertama dan saya yakin akan mendapat sambutan dengan pelbagai aktiviti sihat seperti berbasikal, senaman aerobik, di samping menghidupkan kesedaran kepada rakyat tentang pentingnya kita menjaga alam sekitar dengan pengurangan pelepasan karbon,” jelas beliau selepas melawat beberapa kawasan semasa pelancaran program tersebut pada 13 Mac lalu.

Walau bagaimanapun, tarikh pelaksanaan akan ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sekaligus memaklumkan aktiviti yang akan dianjurkan sepanjang program berkenaan berlangsung.

Beliau turut memaklumkan bahawa jalan raya yang akan terlibat dengan program tersebut adalah Jalan Mahkota dan Jalan Besar. Jalan utama tersebut dipilih atas tujuan mempromosi lorong Art Street yang dihiasi dengan pelbagai jenis lukisan yang menggambarkan identiti negeri Pahang itu sendiri.

Selain daripada lorong tersebut mempunyai lukisan seperti Naga Tasik Chini dan gajah, Pasar Dinda serta ‘pasar karat’ atau pasar yang menjual barangan antik dan terpakai turut diadakan di sepanjang lorong berkenaan.

Berikutan dari pelancaran program itu, hampir 1,000 pengunjung yang hadir turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang disediakan seperti BMX, papan luncur, aktiviti busking, bola sepak jalanan, nurseri dan basikal tolak.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan di mana program ‘Kuantan Car Free – Green Hour 2022’ mampu diperluaskan ke seluruh daerah di negeri Pahang jika ia mendapat sambutan baik dari masyarakat sekitar.

Leave a Reply

Back to top button