Tempatan

Kuantan Bakal Ada Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 13 Julai 2022 – “Projek pembinaan lapangan terbang ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos pembangunan sebanyak RM2 bilion,” kata Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy mengulas mengenai projek Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-Angkasa yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

Menurutnya, dua perjanjian persefahaman itu ditandantangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Projek Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-Angkasa ini merupakan projek berimpak tinggi yang melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara Ke-3 iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu.”

“Pelaksanaan projek ini turut mengambil kira faktor hub ekonomi yang lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng selain berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur.”

“Pemajuan projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang melibatkan Gross Development Value (GDV) sebanyak RM7.5 bilion setahun atau bersamaan RM150 bilion dalam tempoh 20 tahun,” ujar beliau.

Dimaklumkan bahawa pembangunan projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, Kuantan secara usahasama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara Build-Operate-Own (BOO) di mana pengoperasian lapangan terbang ini akan dikendalikan oleh pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad.

Kata Dato’ Sri Haji Wan Rosdy lagi, projek ini juga bakal membuka peluang pekerjaan baharu dengan sasaran 20,000 peluang pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang serta 30,000 peluang pekerjaan lain melibatkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir melalui pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Melalui projek ini juga, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kedatangan seramai 40.79 juta orang pelancong bagi tahun 2050 setelah mengambil kira situasi normal tanpa isu pandemik dan kemasukan pelabur-pelabur baharu,” tambah beliau.

Buat masa ini, Negeri Pahang mempunyai sebuah lapangan terbang yang dikongsi bersama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terletak 16 km di barat daya Kuantan.

Ia juga merupakan salah satu pengkalan udara utama TUDM.

Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah yang wujud sejak tahun 1960-an pada awalnya hanya melibatkan penerbangan domestik. Namun, pada tahun 2008, lapangan terbang ini menjadi lapangan terbang pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia yang menerima penerbangan antarabangsa selepas termeterainya perjanjian antara Tourism Malaysia dengan Taiwan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: