KTMB Tawar Diskaun 25% Sehingga 31 Disember
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 28 Januari 2023 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan tawaran menarik kepada rakyat Malaysia dengan memberikan diskaun secara berkumpulan sebanyak 25 peratus, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin.
Diskaun tersebut adalah bagi pembelian bermula 27 Januari sehingga 31 Disember 2023 ini serta akan melibatkan semua perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Perkhidmatan Ekspres Intercity.
BACA JUGA: Solidariti Bantahan Hina Islam Di Hadapan Kedutaan Sweden Dibanjiri NGO & Umat Islam
BACA JUGA: PM Digesa ‘Bebaskan’ Tanggungjawab TPM, Sehingga Kes Rasuah Selesai
BACA JUGA: CPTPP: ‘Kenapa Ditandatangani Secara Diam-diam?’ – Aktivis PPIM
Beliau yang mengumumkan berkenaan diskaun tersebut ketika majlis pelancaran Kempen Travel Sama-Sama di KL Sentral semalam, juga memaklumkan kempen tersebut adalah sebagai tanda penghargaan KTMB kepada penumpang-penumpang ETS dan berikutan diskaun Keluarga Malaysia yang telah mendapat sambutan menggalakkan sepanjang tahun 2022.
Selain itu, kempen ini merupakan salah satu tawaran KTMB untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
Beliau juga memaklumkan, pemberian diskaun itu hanya tertakluk kepada warganegara Malaysia dengan pembelian minimum empat (4) tiket dewasa atau kanak-kanak dalam satu transaksi sama dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan.
“Pada masa yang sama, Ia juga terpakai untuk pembelian tiket melalui laman sesawang rasmi KTMB dan aplikasi KTMB Mobile serta di kiosk tiket. Kelayakan lainnya tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.”
Tambah Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin, KTMB turut meraikan penumpang setia perkhidmatan ETS bagi tahun 2022, yang dipilih berdasarkan kekerapan menggunakan perkhidmatan ETS dengan mengumpul jumlah tertinggi bilangan trip, destinasi perjalanan, berdaftar dengan KITS dan membuat pembelian tiket dewasa.
Lebih menarik, program seperti ini akan terus dikekalkan pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan KTMB kepada pengguna setia ETS dan dapat menarik minat lagi orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan ini sebagai pengangkutan utama, ujar beliau.
Tuntasnya, KTMB sentiasa cakna dengan maklum balas rakyat Malaysia yang memilih perkhidmatan kereta api yang berkualiti, selesa dan berpatutan, terutamanya mereka yang berkeluarga untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung, jelas Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin.