KTM Perkenal Sistem Baharu, Jualan Tiket Setiap 30hb
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2023 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan sistem baharu penjualan tiket di mana ia akan dijual pada tarikh 30 hari bulan pada setiap bulan sepanjang tahun.
Menerusi satu kenyataan, KTMB memaklumkan, jualan tersebut bermula 30 Julai ini melibatkan tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity.
“Pada masa ini, jualan tiket telah dibuka sehingga 31 Disember 2023. Konsep jualan tiket baharu ini akan bermula 30 Julai 2023, di mana pelanggan boleh membuat pembelian tiket bagi perjalanan sehingga Januari 2024. Manakala pada bulan berikutnya iaitu 30 Ogos 2023, ia akan dibuka untuk perjalanan sehingga Februari 2024,” ujar kenyataan.
BACA JUGA: Johor Tubuh Jawatankuasa Banteras Ajaran Sesat Si Hulk
BACA JUGA: Perlembagaan Persekutuan Tak Halang Semakan Permohonan Untuk Murtad – Peguam
BACA JUGA: Kerajaan Tawar Kredit e-tunai RM100 untuk B40, M40
Konsep baharu ini akan memudahkan pengguna merancang perjalanan dalam tempoh 6 bulan bagi tujuan bercuti atau pulang ke kampung terutamanya pada hari perayaan utama negara dan hari kelepasan am.
Dalam pada itu, jualan tiket ETS dan KTM Intercity akan dibuka mulai jam 12 tengahari, manakala tiket perkhidmatan Shuttle Tebrau akan dijual bermula jam 10 pagi.
Pihak KTMB turut menasihati orang ramai agar mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang lebih rendah dan menjimatkan.
Pembelian tiket boleh dibuat melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB. Sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media sosial rasmi KTMB.