KPN Arah Semua Balai Polis Tutup Pintu Pagar Selepas 10 Malam
KUALA LUMPUR, 10 Julai 2024 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua balai polis di seluruh negara menutup pintu pagar premis selepas pukul 10 malam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu diambil susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu.
Katanya, arahan berkenaan antara yang dikeluarkan dalam usaha memperketat keselamatan dan bersiap siaga atas sebarang kemungkinan pencerobohan atau tindakan luar jangka ke atas balai polis.
“Kita kena imbangi balai polis sebagai tempat rakyat mengadu dan pada masa sama, balai polis menjadi sasaran. Jadi, kita imbangkan antara dua keperluan itu.”
“Insiden di Ulu Tiram misalnya, saat itu ada dua orang yang sudah pun berurusan dengan anggota polis dan ketika itu, serangan berlaku,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperketat keselamatan di balai polis selepas insiden di Balai Polis Ulu Tiram di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PDRM memperketat semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dalaman bagi mempertingkat kawalan keselamatan premis PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis, merangkumi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) seperti kekerapan mengadakan rondaan di kawasan premis yang menjadi sasaran utama.
“Ada keperluan untuk melihat kembali keadaan logistik bagi setiap balai polis, sama ada dari segi lampu dan pagar. Kita keluarkan arahan supaya segera diberikan maklumat supaya proses tambah baik dapat dilakukan,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Tertuduh melibatkan bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura.
Turut didakwa, tiga adik beradik lelaki yang ditembak mati 17 Mei lalu, iaitu abangnya Radin Romyullah Radin Imran, 34; kakaknya, Farhah Sobrina, 23, dan adiknya, Mariah, 19.
Dalam kejadian serangan jam 2.45 pagi itu, tiga maut melibatkan dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek berusia 21 tahun, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.