KPM Sedia Lokar, Tangani Isu Beg Berat Sekolah Rendah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 08 Mac 2022 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan lokar di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara secara berfasa bermula tahun ini untuk menangani isu beg berat.
Fasa satu akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid Tahap Satu iaitu Tahun 1 sehingga Tahun 3, kemudian diperluaskan kepada murid Tahap Dua iaitu Tahun 4 sehingga Tahun 6.
“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing,” kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 6 Mac yang lalu.
Selain itu, KPM juga memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk menyusun semula jadual waktu dengan menghadkan jumlah mata pelajaran kepada tiga atau empat subjek sehari.
“Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu. Ini bagi membolehkan jumlah buku teks atau buku aktiviti yang dibawa ke sekolah, dapat dikurangkan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap buku latihan tidak boleh melebihi 80 muka surat dan murid tidak dibenarkan membawa melebihi dua buku latihan bagi setiap mata pelajaran.
Lain daripada itu, KPM juga menyediakan beberapa lagi ketetapan iaitu murid hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM dan buku kerja hanya boleh digunakan sebagai rujukan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Guru pula digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali atau pembelajaran terbeza.
Seterusnya, KPM juga telah menerbitkan buku teks dalam format digital melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
KPM juga akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“KPM akan memantau pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan itu bagi memastikan matlamat untuk mengurangkan isu beg berat murid tercapai,” tuntasnya.