KPKM Bekerjasama Dengan MyCC Siasat Isu Kartel Beras
PEKAN, 23 Januari 2024 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat isu kartel yang didakwa menekan nasib pesawah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama kementeriannya menerusi Pejabat Kawalselia Padi dan Beras memerlukan sedikit masa bagi memperhalusi keseluruhan rantaian industri padi dan beras negara.
“Siasatan dijalankan dari semasa ke semasa. Isu kartel ini tidak boleh tuduh sembarangan kerana kena faham keseluruhan rantaian terlebih dahulu.”
“Maknanya, kesimpulan awal kita tak boleh buat lagi, kita kena melihat aspek rantaian makanan dalam sektor padi dan beras sebab ini melibatkan beberapa peringkat dari benih sampai ke beras.”
Mohamad Sabu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan, Pekan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, Skim Merchong yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.
Turut berangkat, pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
SMART SBB Ala Sekinchan merupakan model baharu yang menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktikkan pengetahuan, sikap dan amalan dilancarkan pada Mei 2023.
Program itu antara lain bermatlamat meningkatkan pendapatan pesawah melalui peningkatan produktiviti dengan mengaplikasikan amalan berdasarkan penanaman padi terbaik di kawasan Sekinchan, Selangor selain mengeluarkan padi lebih bersasar menerusi pembangunan kawasan secara berkelompok.
Baru-baru ini, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendakwa kartel dalam industri beras negara wujud dan sedang menipu pengguna dan kerajaan sekali gus menyaksikan kelemahan penguat kuasa yang tidak berupaya. menentukan antara beras tempatan dan import.