Kos Sara Hidup Tinggi, Gaji Kakitangan Awam Harus Dinaikkan – CUEPACS
PUTRAJAYA, 21 Februari 2023 – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menggesa Kerajaan menaikkan gaji penjawat awam bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata, kadar semasa gaji dan upah dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang mendadak, terutama membabitkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.
BACA JUGA: Kerajaan Bakal Bincang Isu Pampasan Untuk Penternak Babi Terkesan Wabak ASF
“CUEPACS mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu, dengan model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambahan pula, sistem saraan perkhidmatan awam yang diguna pakai ketika ini katanya sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak lagi sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.
BACA JUGA: Pembantu MP ‘Dihalau’ Keluar, Pakai Skirt Pendek Terbelah Ke Parlimen
Dalam pada itu, CUEPACS turut berharap Kerajaan menitikberatkan hal pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam melalui Bajet 2023.
Katanya, sejak bantuan rumah mampu milik dari Kerajaan telah dihentikan pada tahun 2018, kebanyakan penjawat awam mengalami kesukaran untuk membeli kediaman ini.
“Langkah ini dilihat menyukarkan penjawat awam untuk membeli kediaman sendiri dan terpaksa terus menghuni kuarters Kerajaan atau menyewa seperti biasa.”
Jelasnya, rumah mampu milik sepatutnya berharga kurang daripada RM300,000, sambil menambah bahawa rumah di Putrajaya, di mana Kerajaan pusat berpusat, berharga RM400,000 ke atas.
BACA JUGA: Sakit Mental Di Kalangan Remaja & Kanak-kanak Perlu Lebih Perhatian
“Bayangkan kediaman di sekitar Putrajaya rata-ratanya bermula dengan harga RM400,000 ke atas. Bagaimana penjawat awam yang kebanyakan dalam kalangan B40 dan M40 ini mampu membelinya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, CUEPACS juga berharap Kerajaan meneliti dan menyelaraskan semula pemberian beberapa elaun yang bersesuaian dengan situasi semasa.
Tegasnya, belanjawan kali ini perlu melihat perkara yang masih tertinggal dan tidak dilaksanakan sepenuhnya sebelum ini seperti permohonan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR), yang masih ramai belum dibayar.
Bajet 2023 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat ini.