Kos Kemanusiaan Serangan Zionis Israel ‘Melampau’, Netanyahu Tetap Berdegil Serang Rafah
YAFFA, 18 Februari 2024 – Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu tetap berdegil meneruskan serangan ke atas bandar selatan Gaza di Rafah meskipun sudah diberi amaran mengenai kos kemanusiaan serangan yang semakin keterlaluan.
Media melaporkan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran kepada Netanyahu sekali gus menentang tegas serangan tersebut yang boleh mencetuskan bencana kemanusiaan dengan magnitud baharu.
Walaupun mendapat tentangan dan rayuan masyarakat antarabangsa, Netanyahu masih angkuh menekankan bahawa tenteranya akan mara ke bandar berkenaan.
Netanyahu berikrar untuk meneruskan serangan lebih kuat dan mengisytiharkan kumpulan pejuang Hamas yang menjaga Gaza mesti disingkirkan dari bandar selatan itu.
“Kami akan berjuang sehingga mencapai kemenangan lengkap dan ini termasuk tindakan yang ampuh di Rafah selepas kami membenarkan penduduk awam meninggalkan zon pertempuran,” katanya.