Korban Diri Untuk Negara, Veteran Tuntut Kebajikan Dibela
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 15 September 2022 – Sekitar 300 orang pesara Angkatan Tentera telah berkumpul di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum menuntut kebajikan mereka dipelihara kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri.
“Jasa bekas perajurit tidak dikenang lagi!!” berikut merupakan petikan dari kain rentang yang dipegang oleh salah seorang peserta perarakan penyerahan memorandum tersebut.
Menurut sebuah liputan tempatan, pesara-pesara tentera yang hadir berarak menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada sekitar jam 8.30 pagi tadi sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan juga bendera-bendera Negeri.
Turut kelihatan dalam perarakan tersebut beberapa orang individu yang turun berarak dengan berkerusi roda, dan tidak kurang juga yang bertongkat, masing-masing membawa jalur gemilang bersama mereka.
Memorandum telah berjaya diserahkan kepada wakil dari pejabat Perdana Menteri sekitar jam 9.50 pagi tadi.
“Misi selesai buat masa ini,” ujar seorang wakil veteran.
Terdahulu, media tempatan melaporkan beberapa orang veteran bertindak berjalan kaki dari Ipoh hingga ke Putrajaya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Kerajaan berikutan isu kebajikan bagi anggota tentera.