Koperasi Masjid, Bantu Tingkatkan Perekonomian Kariah
MELAKA, 12 Mac 2023 – Kerajaan Melaka sedang bekerjasama dengan beberapa pihak bagi menggalakkan penubuhan koperasi masjid untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Islam.
Menurut media tempatan, kerjasama dijalankan bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, setakat ini sebanyak 51 koperasi masjid dan surau telah berdaftar dengan SKM.
Beliau memaklumkan, Laporan Audit SKM Melaka pada tahun 2022 merekodkan pencapaian membanggakan, di mana lima koperasi kariah terlibat secara aktif dengan perniagaan pemborongan dan peruncitan.
“Lima koperasi itu adalah Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad, Koperasi Kariah Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj Bukit Beruang Melaka Berhad, Koperasi Kariah Masjid Taman Merdeka Batu Berendam Melaka Berhad, Koperasi Kariah Masjid Al Muhsinin Melekek Luar Alor Gajah Melaka Berhad dan Koperasi Masjid AnNur Taman Maju Jaya Melaka Berhad.”
“Jumlah aset bagi lima koperasi ini sahaja bernilai lebih kurang RM1.3 juta. Pastinya niat mereka (koperasi) yang utama adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di kariah masing-masing,” tambah beliau.
BACA JUGA: Penduduk Israel Keluarkan Lagu Pembakaran Bandar Hawara Palestin
BACA JUGA: Premis Aksesori Telefon Pintar Jadi ‘Sarang Judi’ Bola Golek
BACA JUGA: 2 Saksi Utama Kes Bunuh Dicari
Dalam pada itu, Sulaiman juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua masjid dan surau yang mempunyai koperasi kariah sekali gus mengharapkan masjid-masjid lain dapat menyahut seruan Kerajaan dan menubuhkan koperasi di peringkat kariah masing-masing.
Di samping itu, beliau turut menyeru institusi berkenaan melakukan anjakan paradigma supaya lebih mesra masyarakat.
Jelasnya, “Kempen Jom Ke Masjid perlu diperkasakan dan melibatkan orang muda dalam ahli jawatankuasa masjid kerana mereka mempunyai banyak idea baharu. Wujudkan bahan bacaan berbentuk Islamik atau info menarik di perpustakaan masjid serta mengadakan majlis makan atau sembang santai dengan jemaah dalam uslub dakwah yang mengharmonikan.”
Beliau juga mencadangkan agar setiap masjid membina tempat serasi bagi orang muda seperti sudut kopi atau kemudahan internet, mewujudkan laman mesra masyarakat sebagai sudut terapi serta memberi insentif kepada anak muda yang sering ke masjid dan terlibat secara aktif dalam aktiviti masjid.