Konvensyen Arusperdanakan Syariah : PEMBELA Lancar Kempen #CintaiSyariah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2022 – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) semalam melancarkan kempen #CintaiSyariah sebagai acara kemuncak kepada Konvensyen Perundangan 2022: Mengarusperdanakan Syariah di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur.
Konvensyen yang dianjurkan PEMBELA ini, merekodkan kehadiran ratusan tokoh-tokoh perundangan Islam, peguam, ahli akademik, penggerak-penggerak NGO dan berjaya menghasilkan satu kesepakatan dan resolusi tuntutan untuk pemegang-pemegang taruh gerakkan dalam usaha untuk mengarusperdanakan Syariah di Malaysia.
Menurut Pengerusi PEMBELA, Tn Haji Aminuddin Yahaya, kempen #CintaiSyariah ini akan menjadikan agama Islam asas dalam pembangunan negara di dalam semua aspek sama ada politik, ekonomi, perundangan mahupun sosial secara seimbang.
“Syariah mampu memberikan kebahagiaan kepada manusia tidak kira mereka Muslim ataupun non-Muslim. Syariah akan membolehkan sifat agama dapat ditanam dalam jiwa masyarakat sehingga mampu melahirkan tamadun kemanusiaan yang unggul, mengurangkan maksiat dan menolak semua bentuk unsur-unsur syaitan.”
Menurut Hj Aminuddin lagi, ramai yang gagal melihat dan menyusun keutamaan dalam perjuangan menegakkan Syariah. Tidak ramai yang sanggup berkorban baik dari segi masa, tenaga dan juga wang ringgit untuk mempertahankan agama Islam.
“Mempertahankan Islam ketika diserang musuh adalah lebih utama dari melakukan ibadah-ibadah sunat. Kita mesti sentiasa sensitif terhadap serangan ke atas Islam serta sentiasa terkehadapan dalam mempertahankannya.”
“Kempen ini akan membawa satu pendekatan berusaha bersungguh-sungguh berfikir, mengkaji dan menganalisa akan kelompongan yang ada dalam sistem Syariah dan mencadangkan pembaikkan. Ia menggunakan segala kemampuan yang ada bagi menggembelingkan usaha ke arah memertabatkan Islam,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sifat yakin bahawa usaha untuk menegakkan Syariah ini akan berjaya perlu ditanam dan disemarakkan supaya hasilnya mudah tercapai.
Kejayaan menegakkan Syariah pasti akan berdepan dengan pelbagai rintangan. Kekuatan perlu ditanam supaya kita tidak merasa letih atau jemu dalam perjuangan kerana kita tahu bahawa ganjarannya sangat besar di sisi Allah SWT.
Menurutnya, jiwa-jiwa yang telah ditanam dengan keyakinan ini akan melihat perjuangan ini sebagai satu kewajipan, bukan sekadar kerja sambilan atau untuk memenuhi masa lapang.