Tempatan

Kontrak Sosial Perlu Diubah – Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak mahu ‘kontrak sosial tersirat’ Malaysia diubah semula demi masa depan yang lebih cerah.

Jika tidak ditukar, ia akan membawa kepada masalah lama yang sama.

“Kita sebenarnya perlu kembali ke meja dan berunding antara sesama masyarakat. Ajak pemimpin untuk berunding dan bersetuju dengan penubuhan kontrak sosial baru,” dakwanya seperti dilaporkan dalam portal FMT.

Dakwanya lagi dalam satu sesi webinar mengenai masa depan model perpaduan sosial Malaysia yang dihoskan oleh Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, abangnya yang merupakan bekas perdana menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah cuba untuk menghapuskan tindakan afirmatif menerusi Model Ekonomi Baharu tetapi gagal.

Bukan itu sahaja, Pakatan Harapan (PH) juga dakwanya dibelenggu masalah yang sama walaupun pada awalnya bekas kerajaan itu mengambil pendekatan sederhana.

“Pada dasarnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah berusaha untuk bersaing dengan UMNO dan PAS (untuk dapatkan undi orang Melayu), menjadi pendorong ketidakpastian dengan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan lain-lain. Itulah sebabnya kita perlu memperbaiki sistem.”

Justeru, Nazir Razak sekali lagi mengulangi cadangannya agar Majlis Perundingan Nasional (NCC) ditubuhkan bagi menyatukan pemimpin mengikut bidang masing-masing untuk melakar jalan baru buat Malaysia.

Beliau mengakui kerajaan sekarang mungkin kurang kemahuan politik untuk menubuhkan NCC, tetapi NCC boleh sahaja ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja, dakwanya.

Cadangan Nazir ini disokong oleh Edmund Terence Gomez, profesor ekonomi politik di Universiti Malaya yang mendakwa bahawa sistem naungan berasaskan bangsa perlu dihapuskan kerana ia mempengaruhi cara pemikiran pengundi.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button