Tempatan

Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu Bantu Jamin Sekuriti Makanan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PADANG TERAP, 11 September 2022 – Sebuah Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta akan dibina oleh FELCRA Berhad di negeri Kedah bagi menjana ekonomi dan menjamin sekuriti makanan negara.

“Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar, yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi,” kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat projek tersebut, lapor sebuah portal berita tempatan.

Bukan itu sahaja, projek ternakan ayam itu turut dijangka bakal membuka peluang kepada usahawan yang dalam bimbingan FELCRA untuk melibatkan diri dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam selain turut dapat menambah pendapatan mereka, katanya.

Projek ternakan ayam yang dijangka akan mula beroperasi pada Oktober 2023 itu bakal dibangunkan di Kampung Kubang Palas dengan mengaplikasikan sistem tertutup.

Beliau berkata, kompleks itu akan dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250 ribu ekor ayam bagi satu pusingan.

“Saya difahamkan, akan ada lima pusingan setahun ternakan ayam di situ. Itu bermakna, sebanyak 1.5 juta ekor ayam akan dikeluarkan dalam tempoh setahun di sini nanti,” tambahnya.

Kompleks itu merupakan kompleks kedua yang dibangunkan oleh FELCRA selepas kompleks ternakan ayam bersepadu yang dibina di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: