Tempatan

Ambil Serius Kewujudan Jual Beli Organ – KP Kesihatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 April 2023 – “Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menekankan bahawa sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana ianya merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut kenyataan beliau yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi KKM, siasatan di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 hendaklah dilakukan sekiranya terdapat aktiviti yang melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ.

Beliau dalam kenyataan itu turut menjelaskan bahawa perkhidmatan pendermaan organ serta transplantasi adalah melibatkan pendermaan organ daripada penderma hidup ataupun penderma selepas kematian (kadaverik) dan penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung ataupun paru-paru.

BACA JUGA: Tiada Insiden Panik Hari Raya Mengejut Tahun Ini – Pakar Falak

BACA JUGA: Keputusan Representasi Kedua Pengasas Crackhouse Comedy Club 31 Mei Ini

BACA JUGA: Bersekongkol Dengan Geng Plastik Hitam, 2 Wanita Ditahan

“Dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).”

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia telah menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking Transplant Tourism (2008) di mana ia menyatakan bahawa organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima yang sesuai tanpa mengira jantina etnik, agama, status sosial mahupun kewangan.

Deklarasi tersebut turut menekankan bahawa komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan yang miskin dan lemah di mana ia akan menjurus kepada ketidakadilan.

“Oleh itu, sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ adalah dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, transplant tourism dan komersialisasi transplan,” jelasnya.

Bagaimanapun, bagi memperketat lagi tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, KKM telah menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang berperanan untuk mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma-penerima yang tiada perkaitan kekeluargaan (unrelated) atau melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.

Katanya, tadbir urus perkhidmatan yang dibentuk dengan kemas memainkan peranan penting dalam melindungi hak bakal penderma serta memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan atau mempunyai unsur pemerdagangan.

“KKM tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika. Dalam perkara ini, pihak KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: