Klinik Komuniti Bakal Dibuka di R&R PLUS
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 12 Disember 2022 – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal membuka klinik komuniti di salah sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) dan dijangka beroperasi mulai suku pertama tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Zabidi berkata, klinik tersebut dibuka menerusi kerjasama syarikat lebuhraya itu dengan pengamal perubatan berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan bantuan rawatan kesihatan kepada pengguna lebuh raya.
“Sekiranya berjaya, lebih banyak klinik komuniti PLUS akan dibuka di kawasan-kawasan strategik sepanjang lebuh raya pada masa akan datang,” ujar syarikat tersebut dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, walaupun insiden kemalangan dan masalah kesihatan adalah di luar kawalan PLUS, kejadian kecemasan seperti itu memerlukan rawatan segera. Beliau turut menjelaskan bahawa PLUS sedar akan keperluan tersebut dan akan memulakan satu ujian rintis awam dengan menyediakan klinik komuniti berkenaan.
Susulan itu, dilaporkan PLUS berjaya mengurangkan Lost-Time Injury (LTI) dalam kalangan warganya daripada 35 kes pada 2017 kepada 1 kes sahaja pada tahun ini, merekodkan penurunan sebanyak 97 peratus.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail juga menzahirkan kegembiraan beliau atas inisiatif kesihatan dan keselamatan yang diusahakan sejak lima tahun lalu. Katanya, ia membuahkan hasil dan keselamatan warga PLUS kini lebih terjamin sepanjang menjalankan tugas mereka.