KL, Selangor, Melaka Masuk Fasa 3 Jumaat Ini – PM
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PUTRAJAYA, 30 September 2021 – Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober 2021 ini.
Perkara ini dimaklumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Negeri Kedah pula akan beralih ke Fasa 2 pada tarikh yang sama. Ini bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.
Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membuat beberapa ketetapan berikut:
1. Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4. Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani ‘pre-event test‘ menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.
2. Pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Oktober 2021.
3. Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4. Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium. Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.