Tempatan

KKM Tidak Menolak Kajian Terhadap Keberkesanan Kanabis Perubatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2022 – Dato’ Dr Noor Azmi bin Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan I, memaklumkan dalam sesi Parlimen sebentar tadi bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kajian tentang keberkesanan kanabis perubatan.

“Malah sekiranya ada keluaran yang berkaitan perubatan kanabis yang telah diluluskan penggunaannya di negara luar, syarikat boleh mendaftarkan penggunaan tersebut di Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut mengakui bahawa Malaysia “ketinggalan” dari segi aspek kajian dan pelaksanaan dasar berkaitan penggunaan kanabis dan hemp dalam industri perubatan.

“Kita sebenarnya Yang Berhormat, kita memang ketinggalan.”

“Kita dapat lihat, banyak negara, lebih kurang 40 buah negara di luar sana telah memberikan kebenaran. Thailand telah memberikan kebenaran. Sebab mereka ada data mereka sendiri, contohnya,” jelas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia “terkebelakang” dari aspek ini, namun pihak KKM sedia untuk melihat kepada perkara-perkara baru sebegini.

“Kita tahu bahawa hemp ini adalah sangat berguna. Untuk perubatan pun sangat berguna. Malah telah digunakan untuk merawat epilepsy, untuk merawat kanser, untuk merawat depresi (dan) untuk menjadi harm reduction programme untuk dadah dan sebagainya.”

“Kalau kita duduk di takuk lama, kita tak akan ke mana-mana,” tegas beliau lanjut.

Jawapan beliau kemudiannya disifatkan sebagai progresif oleh penyoal, Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman, pada sesi perbahasan Parlimen pagi tadi.

Leave a Reply

Back to top button