Tempatan

KKM Luluskan Ubat Covid-19 Keluaran Pfizer

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 05 Mac 2022 – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah bersetuju untuk meluluskan pendaftaran bersyarat ubat jenama PAXLOVID keluaran Pfizer bagi kegunaan rawatan COVID-19 ketika berlakunya bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan mengenai penggunaan ubat tersebut di mana ia akan digunakan untuk rawatan COVID-19 pada orang dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk.

“Produk Paxlovid tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi COVID-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk antivirus dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” ujar beliau dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Oleh yang demikian, penilaian berterusan itu akan terus dilakukan bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk itu kekal positif.

“KKM akan terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” tambah Dr Noor Hisham Abdullah lagi.

Sama seperti PAXLOVID, vaksin CoronaVac juga mendapat kelulusan bersyarat dan ia digunakan ke atas kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang memerlukan pemantauan dan penilaian maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

“CoronaVac sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berusia 12 tahun dan ke atas.”

“Ini adalah vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi kanak-kanak, selepas sebelum ini pada 6 Januari lalu, kelulusan diberikan kepada vaksin Comirnaty untuk vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” kata beliau.

Mengakhiri kenyataan beliau memaklumkan bahawa pemegang pendaftaran bagi produk berkenaan adalah Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd dan ia dikilangkan di Pfizer Manufacturing Deutschland GmbH, Jerman dan Pfizer Ireland Pharmaceuticals, Ireland.

Leave a Reply

Back to top button