KKM Ambil Berat Luahan Petugas Kesihatan, Komited Cari Penyelesaian
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 04 Januari 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat pandangan daripada petugas kesihatan dan komited mencari langkah penyelesaian berhubung situasi semasa sistem kesihatan negara.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di Twitter rasminya menyatakan bahawa pihak KKM menghargai maklum balas yang diberikan dan sedang menggerakkan pelbagai langkah menyeluruh termasuklah dari aspek dasar mahupun teknikal.
BACA JUGA: WASPADA! Sindiket Penyamaran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
BACA JUGA: Setelah Nurul Izzah, Kali Ini Tuduhan Babitkan Speaker Dewan Rakyat
BACA JUGA: Monopoli Tiket Umrah, MOTAC Nafi
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak KKM sedang merangka langkah-langkah bagi menyelesaikan isu berbangkit dengan mengambil langkah bersasar demi reformasi sistem kesihatan.
Katanya, KKM tetap mengutamakan isu-isu yang berbangkit seperti kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, sistem sumber manusia, penetapan gaji yang saksama mahupun jaminan kerja berikutan tiada penyelesaian yang mudah untuk isu-isu ini.
Bukan itu sahaja, pihak KKM juga akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Kewangan bagi membentangkan perincian dalam mendapatkan peruntukan lebih besar meliputi aspek infrastruktur, digitalisasi sistem serta sumber manusia.
Malah, pertemuan dengan pihak berkepentingan juga akan dilaksanakan secara berkala bagi mendapatkan maklum balas daripada kakitangan di lapangan termasuklah mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan panjang.
Sehubungan itu, KKM memberi jaminan bahawa pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi lain demi kebaikan dan manfaat petugas kesihatan serta masyarakat madani keseluruhannya.
Baru-baru ini, laman web berita kesihatan CodeBlue mendedahkan sebanyak 95 peratus daripada 1,652 kakitangan kesihatan yang meliputi jururawat serta doktor Kerajaan menyatakan bahawa sistem kesihatan awam negara sedang berdepan dengan krisis di mana 73 peratus daripadanya mempertimbang untuk meletakkan jawatan.