Tempatan

Kita Sepatutnya Lebih Malu Apabila Tidak Boleh Berbahasa Melayu Berbanding Bahasa Inggeris – Dato’ Julita Ilhani

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Jun 2022 – “Kita sepatutnya lebih malu apabila tidak boleh berbahasa Melayu lebih dari jika tidak fasih berbahasa Inggeris, bukan sebaliknya,” ujar Kursi Teraju Perdana NAJM, Dato’ Julita Ilhani Binti Dato’ Sri Abd Jabbar.

Menurutnya, apa masalahnya jika PM kita berhasrat untuk memartabatkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa? Bukankah seluruh warganegara patut berbangga?

Jelas beliau, warganegara Malaysia wajib fasih berbahasa Melayu secara keseluruhannya kerana ia merupakan bahasa Kebangsaan dan bahasa utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Soalnya, adakah kita pernah dengar warganegara Indonesia memperlekehkan bahasa Indonesia atau warganegara Jepun memperlekehkan bahasa Jepun.

“Kita sering atau sudah sangat sinonim mendengar frasa ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ tetapi penghayatan ke arah menjadi warganegara yang berjiwa baik pun masih di tahap yang sangat lemah.”

Sepatutnya, isu bahasa Melayu ini sudah tidak timbul lagi kerana ianya adalah bahasa utama dan bahasa Kebangsaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, bagaimana jati diri kebangsaan ini akan terbentuk jika sikap tidak berbangga dengan bahasa Kebangsaan masih menebal dalam kalangan segelintir rakyat, selain provokasi dari sekelompok kecil pihak yang suka meremeh-temehkan usaha membangkitkan jati diri seluruh rakyat melalui Bahasa Melayu yang telah sekian lama telah pun terbukti menyatupadukan seluruh rakyat di dalam negara ini.

Tegasnya, warganegara Malaysia yang gagal berbahasa Melayu tidak layak pun digelar warganegara Malaysia, sebenarnya.

Beliau turut mempersoalkan bukankah Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dengan terang dan jelas menyebut kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang seharusnya menjadi kebanggaan semua dan bukannya dihina.

Dato’ Julita Ilhani turut berkata, semua warganegara Malaysia boleh mempelajari bahasa lain tetapi mempelajari Bahasa Melayu adalah menjadi keutamaan setiap warganya kerana Bahasa Melayu itu adalah bahasa Kebangsaan yang sah dan khusus untuk rakyat Malaysia khasnya.

Justeru, hasrat PM itu seharusnya disambut baik oleh seluruh warganegara Malaysia tak kira siapapun tanpa ada apa-apa pengecualian.

Tambah beliau lagi, peranan Kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu adalah penting sebagai usaha mengangkat budaya dan peradaban Melayu melalui bahasa di dalam negaranya sendiri.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa bukan sahaja bangsa malah rakyat amnya yang tidak mempedulikan bahasa Kebangsaan negaranya, sebenarnya akan sedikit sebanyak hilang jati diri dan seterusnya peradaban dan warisan negaranya sendiri.

Makanya, mari kita bersama-sama menghayati kata-kata indah berbunyi “Bangsa agung, warisan digendong, Adat dijunjung bahasa Kebangsaan didukung’ dan di situlah membangun pesatnya ketamadunan sesebuah negara merdeka,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: