Kita Malu & Takut Martabatkan Bahasa Kebangsaan Dalam Negara Sendiri! – Hj Aminuddin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 05 Oktober 2022 – “Kita seharusnya malu kerana malu-malu untuk mengangkat kemegahan bangsa kita walaupun di negara sendiri. Kita malu dan takut nak martabat Bahasa Kebangsaan dalam negara dalam pelbagai aspek. Lihatlah bagaimana Perlembagaan Persekutuan. Versi Bahasa Inggeris adalah yang lebih absah berbanding Bahasa Kebangsaan sendiri.
Malah, budaya-budaya bangsa Asia lain seperti Jepun dan China juga semakin popular dan kuat bertapak di Malaysia. Sehingga satu tahap, mereka dilihat lebih serius berbanding kerajaan kita mempromosikan budaya Melayu yang merupakan identiti teras watan kita.”
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melontarkan pandangannya melalui satu hantaran di Facebook susulan tindakan kerajaan Korea yang bakal membuka pusat kebudayaan Korea di Malaysia. Keputusan itu menunjukkan bagaimana mereka mengambil serius dalam mempromosikan budaya bangsa mereka dengan penuh bangga di serata dunia.
Walau bagaimanapun, beliau berkata; “Kita memang tiada masalah dengan budaya luar, malah baguslah jika rakyat kita mahir berkaitan pelbagai kebudayaan. Tetapi apakah layak pada masa yang sama kebudayaan sendiri terus dipinggirkan?
Lihatlah bagaimana Perdana Menteri dan menteri-menteri diperlekeh menggunakan Bahasa Melayu di pentas dunia oleh orang kita sendiri.
Lihatlah bagaimana Dong Zong dan parti-parti politik Cina fobia dengan tulisan Jawi padahal ianya termaktub secara spesifik dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.”
Tambah Pengerusi PEMBELA itu lagi yang menurutnya sebelum ini beliau telah banyak kali mengusulkan cadangan agar pihak kerajaan memperuntukkan sedikit untuk memberi sebuah pusat atau bangunan untuk kebudayaan Melayu, untuk secara serius mempromosikannya sebagai lambang keizzahan negara yang mana, apabila pelancong datang ke Kuala Lumpur, itulah tempat yang wajib dilawati.
“Cubalah lihat dalam bahan-bahan promosi perlancongan Malaysia. Ada apa? Cuba bandingkan dengan negara-negara lain pula. Yang biasa mengembara ke luar negara pasti akan faham apa yang saya perkatakan ini.”