Tempatan

Kita belum bersedia untuk Statut Rom – Pengerusi SUHAKAM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 September 2022 – “Mereka salah faham bahawa saya menentang Statut Rom. Tidak, ia bukan begitu. Saya tidak pernah menentang hukuman ke atas empat jenayah besar tersebut,” berikut merupakan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Professor Dato’ Dr. Rahmat bin Mohamad, menurut sebuah laporan.

Menurut beliau, sebab utama beliau menulis sebuah kajian yang menentang ratifikasi Malaysia terhadap Statut Rom pada tahun 2019 adalah kerana menurut hemat beliau, Malaysia masih belum ‘bersedia’ untuk hal tersebut.

Jelasnya, terdapat beberapa persiapan yang perlu dibuat sebelum Malaysia boleh meratifikasi Statut Rom sebelum ianya boleh digunapakai.

“Jika anda menjadi pihak kepada Statut Rom, anda perlu mengubah undang-undang tempatan. Bila anda umumkannya, ia tidak terpakai secara serta-merta,” jelas beliau.

“Dalam situasi kita, kita perlu ke Parlimen bagi membuat undang-undang yang perlu bagi memastikan peruntukan-peruntukan dalam Statut Rom dapat digunapakai,” tambah beliau lagi.

Beliau memberikan contoh bahawa di dalam Kanun Keseksaan, tiada sebarang definisi tentang apakah itu “jenayah kemanusiaan” dan “genosid”, di mana kedua-dua jenayah terbabit adalah sebahagian dari 4 jenayah yang tertakluk di bawah Statut Rom.

Jelasnya lagi, Majlis Raja-Raja (MRR) juga perlu diberikan penjelasan tentang hal tersebut, selain melatih pihak-pihak kehakiman tentang pemakaian perjanjian tersebut.

Statut Rom adalah sebuah perjanjian antarabangsa, di mana ahlinya bakal membenarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat empat jenis jenayah berat: jenayah kemanusiaan, genosid, jenayah perang dan agresi.

Menurut laporan, Sultan Johor pernah bertitah menentang penerimaan Statut Rom atas alasan bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan memberi kesan kepada kuasa Raja-Raja.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: