Tempatan

Kita Batalkan Sekolah Cina Dan Bina Dua Buah Sekolah Kebangsaan – Ketua UMNO Subang

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PUCHONG, 03 November 2021 – “Saya sudah membuat permohonan untuk mewujudkan dua buah sekolah kebangsaan di tapak kosong yang telah dikenal pasti. Selain itu, NGO Badan Bertindak Bandar Kinrara juga bersama saya semalam untuk memastikan pembatalan sekolah SJKC Too Joon Hing ini,” maklum Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha tentang perkembangan terbaharu isu tapak SK tukar jadi SJKC.

Jelas beliau, perbincangan dengan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad bin Haji Alamin memutuskan supaya pembinaan SJKC ditangguhkan bagi meneliti sudut struktur undang-undang terlebih dahulu.

“KSU Kementerian Pendidikan juga sudah menyatakan akan menangguhkan projek SJKC Too Joon Hing itu bagi mendapatkan pandangan dari sudut undang-undang yang sedia ada.”

Tambah beliau, “Saya juga telah dimaklumkan oleh Datuk Mohamad bin Haji Alamin untuk melihat dari segi bajet dan sebagainya dan Insya Allah, kalau tiada apa-apa masalah kita akan bina dua buah sekolah kebangsaan di sini.”

Ujar Datuk Armand lagi, pihaknya mengambil pendekatan konsep perbincangan secara matang dengan pihak Kerajaan Persekutuan, pihak Kerajaan Negeri dan pihak Kementerian Pendidikan Negeri bagi menyelesaikan isu ini.

Justeru, beliau menasihatkan semua penduduk untuk tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh merencatkan perbincangan isu tapak SK bertukar menjadi SJKC ini.

“Jangan disebabkan proses perbincangan ini kita buat perkara-perkara di luar batasan misalnya melanggar SOP kerajaan dan sebagainya yang akhirnya perbincangan secara matang ini tidak dapat diteruskan.”

“Kita mohon kepada semua penduduk supaya bertenang, sebab sekarang ini dalam proses perbincangan yang akan dibuat dengan lebih teliti,” kata Datuk Armand.

Leave a Reply

Back to top button