Kilang Dan Pemborong Beras Kecil Melayu Semakin Sukar Untuk Bertahan
KANGAR, 08 Jun 2024 – Kilang dan pemborong beras kecil Melayu mungkin gulung tikar dan semakin sukar untuk bertahan berikutan sejumlah syarikat besar atau taikun beras membeli harga padi yang terlalu tinggi daripada pesawah.
Menurut sumber dalaman, hanya sembilan atau 5.4 peratus daripada 167 kilang beras milik orang Melayu di seluruh negara yang masih meneruskan operasi dalam serba kesukaran sejak 15 tahun lalu.
Justeru, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kerajaan melalui Kawal Selia Padi dan Beras perlu menarik balik atau tidak memperbaharui lesen broker atau pelesen yang beroperasi kurang 20 kilometer dari kilang padi komersial.
Katanya, pelesen dan broker inilah yang memindahkan padi dari kawasan yang sepatutnya dijual di kilang berhampiran ke kilang-kilang besar yang menaja mereka dengan komisen tinggi.
Ujarnya, pelesen padi yang berada di luar kawasan jejari lebih 20 kilometer hanya boleh dibenarkan menyediakan kemudahan untuk petani memasarkan padi mereka.
“Pelesen atau broker yang hanya bermodalkan penimbang dan bangsal pemunggahan padi dan tanah yang tidak ditukar syarat tetapi mendapat keuntungan besar atas hasil petani.”
“Sebagai orang tengah, mereka secara langsung menaikkan kos pengeluaran beras tempatan.”
“Ini sekali gus menjuruskan pengilang-pengilang besar membungkus beras dengan menukar gred beras tempatan yang dikawal harganya dengan menipu pengguna sebagai beras import,” katanya.