Tempatan

Kibar Jalur Gemilang: Gunakan Kekerasan Undang-Undang Terhadap Premis Perniagaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2022 – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menguatkuasakan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 supaya pemilik perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.

Menurut beliau, lesen pemilik premis perniagaan boleh dibatalkan atau dikenakan denda sekiranya mana-mana arahan dari pihak PBT yang termaktub di bawah undang-undang tersebut tidak dipatuhi.

Katanya, satu kaedah paksaan diperlukan menerusi peruntukan undang-undang itu agar pemilik premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kalau dikuatkuasakan, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa takut kepada pemilik premis perniagaan yang mengingkarinya,” ujarnya.

Beliau bahkan menganggarkan sebanyak 95 peratus premis perniagaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

Tegas beliau, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana bangunan komersial merupakan sebahagian daripada pusat pentadbiran PBT dan berpotensi menjejaskan imej negara.

“Bukan saya sahaja, malah masyarakat sendiri susah hendak lihat kedai kibarkan Jalur Gemilang. Dalam dua, tiga deret atau 30 kedai mungkin ada satu atau dua yang kibarkan.”

“Jika perkiraan kasar saya ,hanya tiga hingga lima peratus sahaja di seluruh negara yang mengibarkan bendera,” ujarnya.

Jelasnya lagi, tindakan tidak mengibarkan Jalur Gemilang itu mampu memberikan imej buruk bahawa rakyat Malaysia tidak patriotik sekiranya pelancong, orang asing mahupun duta luar negara melihat premis perniagaan tidak mengibarkan bendera dalam Bulan Kebangsaan.

“Sikap itu tidak baik bukan kerana mereka tiada bendera atau tidak boleh membelinya, tetapi sengaja tidak mahu mengibar Jalur Gemilang. Mungkin tiada ‘mood’ sebab kurang senang dengan situasi politik dalam negara,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah untuk Kerajaan atau ahli politik, sebaliknya ia adalah untuk tanah air mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: