Tempatan

Khitan Bukan FGM, Yang Harus Diperjuangkan Ialah Pengamalan Khitan Selamat – Dr Siti Nurhayati Adznan

KUALA LUMPUR – Pegawai Perubatan Umum, Dr Siti Nurhayati Adznan menegaskan khitan perempuan tidak mendatangkan mudarat.

Amalan ini juga langsung tidak sama dengan amalan Female Genital Mutilation (FGM) seperti yang dijalankan ke atas kanak-kanak di Afrika.

“Khitan, seperti yang dijalankan di Malaysia adalah menepati sunnah dan tidak mendatangkan mudarat. Dalam kajian dari Universiti Malaya pada tahun 2012 menyatakan, 94% wanita Malayu telah dikhitankan, dan mereka tidak melaporkan sebarang kesan sampingan.”

Tambahnya, kutipan data juga tidak menunjukkan khitan telah membawa kepada sebarang kesan tidak diingini semasa atau selepas prosedur selesai dijalankan.

“Sejak data dikutip Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1980-an sehingga kini, data menunjukkan tiada kesan tidak diingini timbul akibat khitan.”

Menurut Dr Nurhayati lagi, sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang khitan perempuan selama hampir 10 tahun, beliau langsung tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa khitan dan FGM itu merupakan perkara yang sama.

“Sebagai mudim khitan kanak-kanak perempuan sepanjang hampir 10 tahun ini, saya ingin menegaskan bahawa amalan khitan tidak langsung menyamai FGM sebagaimana didakwa. Walau mungkin terdapat persamaan apabila bersandarkan kepada klasifikasi FGM yang terkini namun amalan khitan di Malaysia telah diamalkan jauh lebih lama dari klasifikasi tersebut. Ia ternyata selamat dan tidak memudaratkan.”

“FGM adalah mutilasi di mana sebahagian besar kemaluan dipotong menyebabkan jangkitan atau pendarahan yang kadangkala perlu kepada jahitan semula. Sedangkan khitan hanya melibatkan kecederaan kecil, langsung tiada kesan yang ditinggalkan, malah kebanyakan masa, tiada pendarahan berlaku dan kanak-kanak pun tidak menangis.”

Jelas beliau, khitan di Malaysia dijalankan mengikut prosedur di mana doktor bertugas akan menilai tahap kesihatan juga anatomi kanak-kanak perempuan sebelum persetujuan dicapai.

“Ibu bapa membawa anak perempuan ke klinik/hospital swasta dan doktor yang merawat menilai tahap kesihatan anak dan anatomi alat kemaluan anak. Kaunseling dilakukan mengenai kesesuaian prosedur itu sendiri dan sebagainya. Jika persetujuan dicapai, anak itu akan dikhitankan.”

“Jika sebaliknya, contohnya, anak sudah terlalu besar untuk dikhitan atau didapati terdapat ambiguous genitalia (kemaluan tidak dapat dikenalpasti), ibu bapa akan dikaunseling semula, dan perbincangan mengenai khitan tidak lagi diwajibkan sebagaimana disebut di dalam fatwa. Jika perlu, anak akan dirujukkan kepada doktor pakar untuk pengenalpastian dan rawatan lanjut.”

Menyentuh mengenai persoalan adakah klitoris perempuan yang normal tidak perlu dikhitan, aktivis i-Medik ini berkata, hanya klitoris tidak normal atau “ambiguous” sahaja yang tidak disarankan untuk dikhitan kerana anatominya tidak dapat dipastikan dengan tepat.

“Amalan khitan adalah keperluan sunnah. Kita laksanakan kerana hendak mengamalkan sunnah. Cuma jika klitoris tidak normal atau “ambiguous”, kita sarankan untuk tidak dikhitankan kerana anatomi klitoris tidak dapat dikenalpasti dengan tepat.”

Justeru, khitan dan FGM adalah berbeza sekaligus menunjukkan ia tidak melanggar hak asasi manusia seperti yang didakwa badan antarabangsa. Ia juga bukanlah amalan sia-sia seperti yang didakwa sebahagian pihak.

“Setiap Muslim itu harus berpegang bahawa Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w melalui hadis-hadisnya adalah hukum syariat. Jika nabi menyarankan khitan dan mazhab mewajibkan, maka kita percaya bahawa amalan tidak akan sia-sia. Walaupun Sains belum menemui apa-apa faedah daripada prosedur tersebut, tidak bermakna ia akan begitu selama-lamanya. Bukankah khitan lelaki juga pada asalnya dianggap sia-sia juga? Sehinggalah Sains menjumpai bukti yang ia berkait kebersihan yang lebih sempurna.”

“Apa yang lebih perlu diperjuangkan masyarakat, termasuk SIS, adalah pengamalan khitan yang lebih selamat, yakni prosedur dilakukan sepenuhnya di bawah pantauan anggota kesihatan, berbanding dilakukan oleh bidan-bidan kampung dan sebagainya.”

Senada dalam perkara ini, Dr Murizah Mohd Zain, seorang Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Perubatan Reproduktif) di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar juga pernah menegaskan Female Genital Mutilation (FGM) memang seharusnya dihapuskan kerana ianya menyeksa kaum perempuan.

“Khitan bukan FGM dan khitan yang dijalankan di Nusantara tidak patut dikategorikan di dalam FGM.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button