Tempatan

Khitan Bukan FGM – Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – “Secara umum, Female Genital Mutilation (FGM) memang seharusnya dihapuskan kerana ianya menyeksa kaum perempuan. Khitan bukan FGM dan khitan yang dijalankan di Nusantara tidak patut dikategorikan di dalam FGM,” tegas Dr Murizah Mohd Zain, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Perubatan Reproduktif) di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Perbezaan khitan perempuan dengan FGM adalah, khitan atau sunat yang diamalkan di negara ini hanya melibatkan prosedur gores atau menipiskan bahagian frenulum atau kulit klitoris.

Manakala, FGM seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan amalan sesetengah negara seperti di benua Afrika adalah membuang bahagian klitoris, labia atau bibir kemaluan.

“FGM memotong, merubah anatomi dan mendatangkan kesan mudarat sama ada akut seperti pendarahan dan jangkitan kuman pada alat genitalia perempuan dan juga kesan kronik seperti kesukaran untuk hubungan seksual serta kesukaran untuk melahirkan anak.”

“Manakala khitan yang diamalkan hanya melibatkan prosedur yang ringkas iaitu menggunakan jarum kecil untuk melakukan goresan pada bahagian frenulum klitoris,” ujar Dr Murizah.

Oleh itu, tidak timbul isu sunat boleh menyeksa bayi seperti yang didakwa.

“Menyeksa bayi bergantung kepada teknik dan sejauh mana torehan atau pemotongan dilakukan. Kalau ikut teknik yang betul, tidak membabitkan pembuangan kulit dan dilakukan pada tempat yang betul oleh orang yang arif, tidak sepatutnya ada masalah pada bayi.”

Tambah beliau, satu kajian yang dilakukan ke atas wanita berkhitan yang bersalin mendapati, tiada keabnormalan pada faraj ataupun komplikasi pada alat kelamin. Ia juga sama sekali tidak mengganggu proses kelahiran bayi.

“Dalam satu kajian yang dijalankan didapati lebih 94% responden mengkhitan anak perempuan mereka dan 92% mempercayai ada hikmah di sebalik amalan tersebut. Manakala dalam kajian lain yang melibatkan wanita yang bersalin didapati majoriti dikhitan namun tiada keabnormalan pada faraj dan komplikasi pada alat kelamin serta sama sekali tidak mengganggu proses kelahiran bayi.”

“Oleh kerana khitan wanita yang diamalkan di negara ini bukan FGM, maka secara keseluruhannya dalam praktis doktor perbidanan dan sakit puan di negara ini tidak berhadapan dengan wanita yang mengalami risiko disebabkan oleh FGM.”

Menyentuh mengenai hak dan hukum berkhitan, Dr Murizah berkata, “Setiap manusia ada hak asasi masing-masing. Tetapi bila bertembung antara hak manusia dengan hak Allah SWT maka hak Allah perlu diletakkan di hadapan.”

“Kita perlu menghormati pandangan institusi agama yang telah bersepakat meletakkan hukum khitan ini sebagai wajib. Kita juga perlulah memastikan bahawa amalan ini dapat dilaksanakan dengan SOP tertentu supaya ianya kekal tidak membawa mudarat kesihatan,” kata beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: