Khidmat Konsultasi Guaman Sivil & Syariah Percuma Di Selangor – K-Guam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 28 Januari 2022 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah melancarkan K-GUAM iaitu khidmat guaman secara percuma kepada orang ramai untuk memudahkan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat perundangan Sivil dan Syariah dengan lebih mudah dan pantas.
K-GUAM merupakan perkhidmatan Bantuan Konsultasi Guaman secara percuma yang dilaksanakan melalui platform atas talian yang julung-julung kalinya dilancarkan oleh MAIS dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Menerusi perkhidmatan K-GUAM, Perundangan Sivil merangkumi jenis kes melibatkan Perkahwinan, Penceraian dan Keluarga; Hartanah dan Conveyancing: Buruh dan Pekerjaan: Wasiat dan Probate; Pemulihan Hutang dan Jenayah.
Manakala bagi Perundangan Syariah pula mencangkupi Perkahwinan, Perceraian dan Keluarga; Hibah, Wasiat dan Pusaka; Wakaf dan Jenayah.
Perkhidmatan K-GUAM ini mensasarkan 240 permohonan bagi tahun 2022. K-GUAM telah mula beroperasi pada 29 Disember 2021 dan sehingga kini, sebanyak 18 permohonan telah diterima.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan K-GUAM, permohonan boleh dibuat menerusi link https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau maklumat lanjut berhubung perkhidmatan K-GUAM, boleh didapati di laman web MAIS di www.mais.gov.my.
Pelancaran khidmat guaman K-GUAM disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2022 yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Agama Islam Selangor semalam.