Khemah Khas Di PPS, Beri Keselesaan Solat Fardu Dan Tarawih
PONTIAN, 23 Mac 2023 – Kemudahan khemah khas sementara akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di daerah Batu Pahat bagi memberi keselesaan kepada penghuni PPS untuk menunaikan solat fardu dan solat tarawih.
BACA JUGA: Teks Khutbah Jumaat Perjelas Isu Akidah, Bendung Gejala Murtad
BACA JUGA: Dugaan Ramadan, Masjid Ibnu Sina Terbakar
BACA JUGA: Pesta ‘Gayboy’: Batal Lesen Premis, Rosak Nama Tun Razak
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, pejabat kadi daerah juga akan menyediakan khidmat imam dan bilal bagi memimpin solat fardu dan tarawih di PPS yang berkenaan.
Ujar beliau, keselesaan buat penghuni PPS menjadi keutamaan bagi pihak Kerajaan Negeri dan keperluan mereka ini tidak boleh dilengahkan khususnya bagi solat tarawih dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Beliau turut difahamkan bahawa Kerajaan Negeri juga akan menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur di mana ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan mangsa-mangsa banjir yang masih belum dapat pulang ke rumah lagi.
Beliau berkata sedemikian sewaktu Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan di Pontian, petang semalam.
Kata beliau, terdapat kira-kira sepuluh PPS yang akan menjalankan ibadah solat tarawih di pusat tersebut berikutan ‘banjir termenung’ yang lambat surut.
Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Batu Pahat mencatatkan penurunan kepada 967 orang berbanding 1,086 yang direkodkan pada malam tadi.