Tempatan

Ketukan Misteri Di Kota Bharu Berhenti Selepas Solat Hajat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 29 Julai 2022 – Gangguan misteri ketukan pintu yang menghantui beberapa buah kampung di Mukim Pendek akhirnya berakhir berkat ikhtiar penduduk tempatan mengadakan solat hajat di Masjid Tunjong pada malam Jumaat yang lalu.

Penduduk kampung kini boleh tidur lena setelah gangguan tersebut berhenti menyerang sejak lebih seminggu lalu, menurut bekas penggawa Wan Azizi Wan Abd. Ghani.

“Semua penduduk terutamanya di lima buah kampung di Mukim Pendek berharap tiada lagi gangguan ketukan misteri berlaku selepas ini.”

“Sebelum ini, ketukan misteri tanpa salam itu menyebabkan ramai penduduk hidup dalam ketakutan terutamanya pada waktu malam,” kata beliau.

Sebelum ini, penduduk di lima buah kampung mukim Pendek, Kota Bharu diselubungi dengan ketakutan selepas rumah mereka diganggu dengan ketukan misteri selama beberapa hari.

Penduduk dari 50 buah rumah itu memberitahu, ketukan serta dentuman yang kuat boleh dikatakan berlaku serentak pada waktu tengah malam di pintu serta dinding rumah.

Perkara ini menimbulkan kehairanan serta ketakutan dalam kalangan penduduk Kampung Belimbing, Tunjong, Pulau Gajah, Keling dan Lating kerana apabila disiasat, tiada pelaku mahupun kesan ketukan ditemui.

Penduduk, Jasmi Awang [email protected], 66, berkata, rumahnya diganggu dengan ketukan kuat selama dua hari berturut-turut sejak dua malam lalu.

Menyangka ada orang yang ingin memecah masuk rumah, beliau terus mengambil sebilah pedang dan lampu suluh sebelum keluar rumah.

“Kira-kira jam 1.40 pagi dua malam lalu, kedengaran ketukan bertalu-talu yang sangat kuat di dinding rumah menyebabkan kami sekeluarga terkejut.”

“Berbekalkan lampu suluh dan sebilah pedang sebagai menjaga keselamatan, saya keluar untuk melihat apa yang berlaku namun tiada kelibat manusia atau apa-apa yang berlaku.”

“Dalam masa yang sama, beberapa penduduk kampung turut berada di luar rumah dan memberitahu perkara yang sama berlaku di rumah masing-masing dan waktunya juga sama menyebabkan kami semua kehairanan,” kata beliau.

Leave a Reply

Back to top button