Ketua Pengarah MKN Cadang Malaysia Tutup Pejabat UNHCR
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 07 September 2022 – Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad menegaskan bahawa agensi itu sedang meneliti penutupan operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
“MKN sedang meneliti pro dan kontra (pelaksanaan penutupan pejabat UNHCR) dan kita sedang baiki pengurusan pelarian di Malaysia.”
Penutupan pejabat UNHCR yang terletak di Kuala Lumpur, Johor serta utara tanah air itu akan mengambil kira banyak faktor termasuk kad UNHCR.
“Antara tarikan pati ke Malaysia adalah kemudahan yang diperoleh…mereka mencari perlindungan di pejabat UNHCR dan UNHCR akan mengeluarkan kad kepada mereka.”
Tambah beliau, pengeluaran kad UNHCR itu dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
“Keputusan ini tidak adil untuk kita (rakyat Malaysia) bila UNHCR tidak merujuk pihak berkuasa kita terlebih dahulu, tindakan seolah-olah mereka tidak menghormati negara kita,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Datuk Rodzi berkata, pihaknya sudah mempunyai pelan untuk menguruskan sendiri pendatang asing tanpa izin (PATI) dan juga pelarian di negara ini tanpa campur tangan asing.
“Jadi, masanya (pelaksanaan) masih subjektif bergantung pada persiapan dan kejayaan pelaksanaan mekanisme yang kita uruskan sendiri.”
Mei lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan akan membawa isu berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) khususnya mengenai pemberian dokumen pelarian secara tidak sah kepada Jemaah Menteri, dalam tempoh terdekat.
“Saya nak bagi satu contoh, bagaimana seorang warga Indonesia (yang ditahan dalam operasi) boleh mendapat kad UNHCR. Jadi, saya nak bagitahu pada UNHCR bahawa ini negara kita, negara Malaysia, jangan sewenang-wenangnya keluarkan kad dengan persetujuan persatuan Rohingya,” kata Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ujarnya lagi, KDN sudah mempunyai cukup bukti yang boleh membawa UNHCR kepada pihak pengadilan yang tinggi.