Antarabangsa

Kesihatan Mental Kanak-Kanak Gaza ‘Tenat’

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GAZA, 06 September 2022 – Tahap gangguan kesihatan mental penduduk Gaza, terutamanya kanak-kanak di wilayah tersebut dilaporkan semakin tenat dan memerlukan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial, lapor pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Masalah berkenaan semakin meningkat ekoran konflik berterusan daripada kekejaman rejim haram aparteid Israel di wilayah umat Islam itu.

Awal Ogos lalu, Angkatan Pertahanan rejim haram aparteid Israel telah melancarkan kira-kira 147 serangan udara menyasarkan Gaza mengakibatkan kematian 46 rakyat Palestin dan 360 yang lain cedera.

Dalam masa sama, pejuang Palestin melancarkan kira-kira 1,100 roket mortar sebagai serangan balas kepada rejim Zionis itu, ujar Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland.

Pengarah Serantau bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Tabung Kanak-Kanak oleh PBB (UNICEF), Adele Khodr, pula berkata, konflik tersebut banyak meragut nyawa golongan muda wilayah Gaza termasuk 17 kanak-kanak Palestin terbunuh.

“Bagi kebanyakan kanak-kanak, ini merupakan konflik kelima mereka dalam tempoh 15 tahun lalu. Ramai yang sudah hidup dengan kesan psikologi jangka panjang akibat pendedahan berterusan terhadap keganasan,” jelas Adele.

Selain itu, Ketua Program Kesihatan Agensi Bantuan PBB (UNRWA) bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat, Dr. Ghada Al Jadba berkata bahawa penduduk Gaza hidup dalam keadaan kecewa dan kesihatan psikologi yang semakin merosot akibat situasi ekonomi, sosial dan politik memburuk.

“Konflik pada Mei 2021 (di mana sebahagian besar Bandar Gaza musnah dan beratus-ratus terbunuh atau cedera), telah menyebabkan kejutan psikologi dalam kalangan penduduk yang dalam masa sama bergelut dengan masalah pemotongan bekalan elektrik dan air, kadar kemiskinan yang tinggi dan pengangguran.”

Tambahnya, “Semua faktor tersebut memburukkan lagi keadaan kesihatan dan psikologi penduduk Gaza yang sedia ada semakin teruk.”

Dr. Sami Owaida dari Program Kesihatan Mental Gaza turut mendedahkan, “Lebih 65 peratus penduduk Gaza hidup di bawah paras kemiskinan, dan lebih 60 peratus menganggur.”

Populasi penduduk Semenanjung Gaza adalah lebih dua juta orang, namun hanya sebuah hospital kesihatan mental tersedia yang mempunyai kapasiti sebanyak 50 katil sahaja.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: