Kesesakan Penjara Agak Kritikal
MACHANG, 09 Ogos 2024 – “Kelantan agak kritikal termasuk Terengganu manakala di Pantai Barat pula, ia berlaku di penjara Sungai Buloh serta Kajang dan kesesakan ini banyak berlaku di kawasan bandar,” luah Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Keselamatan dan Koreksional, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Kerisauan itu dilahirkan olehnya ketika menghadiri Majlis Ihtifal Kesenian Islam peringkat penghuni Jabatan Penjara Malaysia di Dewan Datuk Mustafa Bin Osman di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.
Setakat ini, katanya, lebih 80,000 penghuni direkodkan berada di penjara seluruh negara dan jika diikutkan dari segi keselesaan, ia hanya mampu menampung 71,000.
“Setakat ini ada lebih 80,000 penghuni di penjara manakala penempatan yang ada mengikut keselesaan adalah 71,000. Jika tidak diurus dengan baik, akan jadi lebih teruk,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata pihaknya sentiasa mencari alternatif untuk mengatasi isu kesesakan di penjara, antaranya pembebasan banduan secara berlesan dan sistem parol.
Katanya, isu kesesakan di penjara bukan setakat disebabkan kes pengulangan kerana banyak kesalahan baharu yang direkodkan terutama membabitkan dadah.
“Kes baharu banyak membabitkan dadah dengan majoritinya di Kelantan mendahului jumlah yang ada. Kita harap sangat semua pihak berwajib dapat lakukan sesuatu agar dapat mengurangkan jenayah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata pembabitan penghuni penjara dalam aktiviti seperti pada Majlis Ihtifal Kesenian Islam memberi banyak manfaat kepada peserta dalam aspek penghayatan dakwah seterusnya membentuk sahsiah dan disiplin lebih baik.
Katanya, pembabitan dalam program itu juga menyumbang kepada kredit untuk pertimbangan pembebasan awal.
“Hukuman memang dijatuhkan oleh mahkamah tapi ada sedikit ruang seakan kredit yang boleh dipertimbangkan untuk pembebasan awal jika penghuni bergiat dalam aktiviti yang dianjurkan institusi penjara,” katanya.