Tempatan

Kesalahan Seks Luar Tabii Di Bawah Undang-Undang Syariah Tidak Sah & Terbatal – Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii adalah tidak berperlembagaan.

Menurutnya, hanya Parlimen sahaja yang mempunyai bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

“Peruntukan itu (Seksyen 28) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.”

“Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” ujarnya yang mempengerusikan sidang panel sembilan hakim hari ini.

Oleh hal yang demikian, badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Pada 21 Ogos 2019, Ketua Pendakwa Syarie menerusi Pendakwa Syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen berkenaan terhadap seorang lelaki di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.

Pada 14 Disember lalu, panel diketuai Tengku Maimun menangguhkan keputusan mahkamah terhadap usul dibawa seorang lelaki bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yakni peruntukan digunakan bagi mendakwanya atas pertuduhan cubaan melakukan seks luar tabii.

Mahkamah mendengar hujah daripada peguam lelaki itu, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, bahawa badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan terbabit kerana perkara dalam peruntukan berkenaan, yakni seks luar tabii, terletak dalam Senarai Persekutuan, dalam Perlembagaan Persekutuan.

Turut bersidang dalam panel sembilan hakim hari ini yang dipengerusikan oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button