Tempatan

Kesal Kenyataan Terhadap Pondok Disalah Ertikan Dan Diapikan Netizen –  Mahmood Zuhdi

Jangan lupa sertai TikTtok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2022 – Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Bin Abd. Majid kesal kenyataan beliau bertajuk “SEKOLAH PONDOK SEBAR EKSTREMIS” disalah ertikan dan diapi-apikan pula oleh netizen dengan niat dan tujuan lain.

Menurut Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) itu, sebenarnya apa yang dimaksudkan tidak seperti yang difahami sesetengah pihak, sedangkan ketika ini beliau sedang berada pada kedudukan yang boleh memimpin institusi pondok ke arah yang lebih baik.

“Tetapi malangnya mereka ini sudah gusar bila saya menyebut hal yang seperti ini dan mereka fikir seolah-olah saya cuba melaknat pondok mereka sedangkan niat kita nak membantu dan membina pondok mereka itu kepada yang lebih baik dan menceritakan keadaan sebenar.”

“Sekali lagi saya ulangi, saya tidak katakan pondok sudah jadi ekstrem sebaliknya menyebut ia “berpotensi” sekiranya tidak diberi perhatian dan dibantu sebaiknya oleh pihak berwajib kerana itu adalah kegusaran saya setelah melihat perkembangan yang tidak sekata di pondok yang tidak mendapat perhatian sewajarnya dari Kerajaan.”

Maka itu, saya suarakan kebimbangan ini agar ia tidak menjadi kenyataan bukan seperti sebaliknya yang difahami sesetengah pihak.

Bagaimanapun, mereka yang mengkritik saya dengan keras itu bukanlah orang pondok yang sebenar, ia adalah netizen-netizen yang dilatih untuk memusingkan fakta dan maksud kenyataan sebenar saya demi untuk melaga-lagakan dan merosakkan institusi pondok.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan samudera.my apa yang dimaksudkan oleh beliau di dalam laporan akhbar Utusan Malaysia pada 31 Julai 2022 lalu bertajuk “Sekolah Pondok Sebar Ekstremis?”

Jangan Terlampau Gopoh Dan Prejudis

Beliau yang juga Pengerusi Pondok Perdana itu berkata, saya nak kata, ramai dari kawan-kawan kita dari komuniti pondok ini juga telah terikut kerana terlampau gopoh, prejudis dan tidak hati-hati dalam memahami satu-satu kenyataan.

“Kalau mereka itu mempunyai tanggapan biasa dalam membaca dan menilai berita tentu tidak akan berlaku ulasan-ulasan seperti itu,” ujarnya.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, ramai daripada pihak yang memberi komen itu bukan dari orang pondok pun. Ini daripada netizen-netizen yang semacam dilatih untuk berhadapan dengan suasana lain. Jadi, apabila melintas sahaja bayang-bayang di hadapan mereka terus ditangkap. Terutama apabila berita itu daripada surat khabar yang biasa menjadi musuh mereka yang biasanya, tapi sekarang bukan lagi lah.

Maka, orang seperti saya yang sangat vokal mengkritik itu, sebab biasanya saya selalu membuat kritikan-kritikan yang mengejutkan, sebab itu ada yang cepat melenting tu. Maknanya saya nak kata, apa yang ada di hadapan ialah bukan soal fakta tetapi soal emosi yang melonjak-lonjak yang diluahkan secara melenting. Jadi saya harap instead of nak suruh saya minta maaf, mereka sepatutnya yang menyemak semula kesemuanya. Saya juga sudah meminta beberapa pihak menyemak semula dan mereka semua juga telah menyemaknya.

Budaya Membaca Kitab Perlu Diterapkan Kepada Membaca Teks Yang Lain Juga

Beliau berkata, yang pertama sekali yang banyak menjadi fokus benar kepada muka pertama “Sekolah Pondok Berpotensi Menyebarkan Ekstremisme?” Kan ada tanda soal. Itu adalah soalan bertanya bukan satu kenyataan. Sebagai satu masyarakat atau komuniti yang terdidik dengan cara belajar secara talaqqi yang berasaskan kepada kajian teks sepatutnya semua mereka itu cukup hati-hati sebagaimana mereka membaca kitab mereka.

“Tetapi oleh kerana bagi mereka budaya itu hanya untuk membaca kitab sahaja tetapi tidak untuk membaca bahan-bahan yang lain, itu yang mereka gagal transfer budaya membaca kitab itu kepada membaca teks-teks yang lain.”

Jelasnya, apabila kita membaca sebuah kitab, mula-mula sekali kita baca sekali lalu kemudian kita faham bagaimana kita menggalurkan ayat itu, ada kaedah nahunya, ada kaedah kronologinya, ada kaedah balaghah dan sebagainya dan berbagai-bagai lagi kaedah yang digunakan. Erti selapis, erti dua lapis dan apa yang penting kita perlu menyelami dan fahami tujuan sebenar kenyataan itu dibuat.

“Ini tidak, bila ada satu dua orang memulakan serangan itu maka yang lain pun turut menurutinya tanpa menyiasat ataupun mengkaji apa sebenarnya yang cuba hendak disampaikan. Kemudian bahasa-bahasa yang digunakan adalah bahasa yang di luar daripada bahasa budaya orang pondok yang sebenarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, rata-ratanya menggunakan bahasa netizen yang tidak tahu apa-apa. Sebab itu, saya tidak memberikan apa-apa jawapan. Benar ada pertanyaan dari betul-betul orang pondok, tuan guru dan sebagainya tetapi lebih lembut daripada itu. Setengah daripadanya saya jawab, tetapi ada setengahnya kalau pertanyaannya itu tidak berapa nak faham saya ignore sajalah.

Tidak Berhasrat Membuka Medan Berbahas

Walau bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk membuka medan untuk berbahas sebab saya adalah sebahagian daripada mereka (Orang Pondok). Itu yang gagal difahami oleh mereka itu,” jelasnya.

“Maknanya di sini, apabila membuat kenyataan itu saya tidak berdiri di hadapan mereka tetapi saya berdiri di belakang mereka dan itu juga yang mereka gagal faham. Mungkin kerana mereka terlampau prejudis dan gopoh. Saya akan ulas satu persatu nanti,” katanya.

Dr Mahmood Zuhdi menjelaskan, mengenai jumlah 400 buah sekolah pondok itu mereka boleh rujuk dalam senarai JAKIM, senarai YADIM dan senarai Yayasan Pondok. Tiga senarai itu cuba compare dan di samping itu mengikut kenyataan umum, mengikut pengetahuan umum dan mengikut rahsia umum yang tidak berdaftar dan yang tidak tersenarai ada kemungkinan lebih banyak lagi.

Jelasnya, kini saya sudah berada dalam komuniti pondok lebih daripada 3 tahun, saya faham dan saya sendiri pernah berbincang dengan para guru pondok, dengan tuan-tuan guru dan dengan mereka-mereka yang berada dalam daerah itu, saya faham dan saya buat kenyataan berasaskan kepada angka itu.

Berpotensi Bukan Bermaksud Sudah Menjadi Ekstremis

“Kemudian apa yang saya perkatakan ialah pondok perlu diberi perhatian kalau tidak diberi perhatian mereka berpotensi untuk menjadi pihak yang menyebarkan ekstremisme. Perlu jelas kenyataan saya, saya katakan mereka “berpotensi” tetapi saya tidak mengatakan mereka sudah pun ekstremis. Saya tidak kata dengan cara menyerang, membabi buta dan sebagainya,” ujar beliau.

Menurutnya, mungkin mereka terlampau bimbang kedudukan mereka itu terjejas jadi suatu kebimbangan yang melampau pula. Sebenarnya secara realitinya mereka adalah golongan masyarakat yang sangat terabai dan usaha-usaha murni mereka tidak mendapat sokongan daripada Kerajaan.

Malah, dalam banyak keadaan mereka itu terpaksa meminta sedekah, meminta dana daripada masyarakat dan kadang-kadang akhir-akhir ini masyarakat ada yang mempertikaikan kejujuran sesetengah daripada peminta dana. Jadi mereka perlu diselamatkan,” katanya.

“Itu yang saya kata, kalau terus dibiarkan mereka akan melahirkan para pelajar graduan separuh matang kerana diajar dengan tidak sempurna dan separuh matang.”

“Sebab, dari segi kurikulumnya dari segi pentadbirannya dan banyak dari segi lain yang dilihat tidak sempurna seperti Sekolah-Sekolah Kebangsaan ataupun Aliran Cina dan Tamil dan aliran arus perdana yang lain dan sebagainya. Tidak seperti itu.”

Maka, disebabkan ketidaksempurnaan itu mereka akan lahir separuh matang dan apabila mereka bertembung dengan realiti di luar yang terus mengabaikan mereka itu, maka mereka akan menjadi para graduan yang kecewa. Bila para graduan yang kecewa itu maka mereka akan berpotensi mempunyai satu sikap yang ekstremis. Cuba fahami maksud saya.

Baik, di sini saya nak jelaskan bukan saya katakan pondok itu lahirkan golongan ekstremis, tetapi “berpotensi”. Misal mudah fahamnya, jika seorang anak yang tidak dihantar ke sekolah untuk belajar menjadi manusia berguna maka dia berpotensi menjadi seorang penyangak, bukan saya katakan dia sekarang penyangak.

Komitmen Kerajaan Itu Ada, Cuma Keputusan Politik Itu Tidak Ada

Jelas beliau, tujuan saya nak ambil perhatian Kerajaan Keluarga Malaysia sekarang apa yang telah terjadi kepada sebahagian daripada masyarakat kita ataupun sebahagian daripada keluarga kita yang begitu terabai. Bagaimana mereka ini boleh terabai sedangkan kita ada dasar Keluarga Malaysia dan sepatutnya Kerajaan kena ambil perhatian dan membantu pondok semaksimumnya.

“Saya sudah berada di MDN semenjak dari kerajaan Barisan Nasional hinggalah kerajaan PH, saya sudah berurusan dengan dua Menteri Pengajian Tinggi sekurang-kurangnya, satu Idris Jusoh dan satu Maszlee Malek. Kementerian di Pengajian tinggi sebenarnya sangat-sangat bersimpati dengan pondok-pondok ini tetapi masalah bajet tidak ada pada mereka. Masalahnya bajet ada pada JAKIM.

Kemudian, bila saya rujuk pada JAKIM, JAKIM beritahu kepada saya bajet untuk pondok itu hanya ada sangat sedikit dan tidak seberapa. Bajet yang berpuluh juta itu untuk Sekolah Agama Kerajaan, Sekolah Agama Rakyat dan kemudiannya untuk Tahfiz tetapi sektor Sekolah Pondok itu terabai. Jangan campur antara Pondok dengan Tahfiz. Dari segi Tahfiz kita sudah ada dasar Tahfiz Negara.

Tetapi, dari segi Pondok tidak ada orang yang menggerakkan supaya orang melihat kepada orang pondok ini. Mereka itu adalah orang yang teraniaya maka saya cuba menggerakkan, tapi tangan saya diibaratkan tangan yang cuba membantu seekor kucing untuk melepaskan kedudukannya daripada sesuatu kedudukan tetapi tangan saya pula dicakar. Ini perumpamaan sahaja, misal untuk memudahkan faham.

Jelasnya lagi, mereka sensitif dengan soal perkataan coding, saya bercakap menggunakan bahasa pengurusan, dan mereka itu menggunakan bahasa kitab. Itu yang mungkin disalah ertikan.

“Saya duduk dengan korporat kewangan Islam lebih dari 15 tahun dalam beberapa sektor kewangan Islam dan saya faham apa maksud audit. Audit itu bermaksud sentiasa banyaknya bermaksud positif. Bila kita audit sesuatu institusi kita nak pastikan bahawa institusi itu berada dalam keadaan bagus. Kalau tidak ada staff kita bagi staff.”

Malah, dalam rundingan saya di dalam dua-dua kerajaan itu pihak Pengajian Tinggi pernah berbincang dengan kami Pondok Perdana tentang bagaimana Kerajaan boleh membantu melalui Kementerian Sumber Manusia. Komitmen Kerajaan itu ada, cuma keputusan politik itu tidak ada.

Kementerian Sentiasa Menyokong Gerak Kerja Yang Dilakukan Oleh MDN

“Dan kebanyakan mereka yang berada di Kementerian ini menyokong gerak kerja yang dilakukan oleh MDN cuma masalahnya bagaimana kita nak menembusi pagar supaya Kerajaan termasuk Menteri dan Perdana Menteri boleh memberi sedikit perhatian kepada pondok, itu sahaja,” jelasnya.

Menurut beliau, apabila menteri-menteri datang dan pergi, Menteri JAKIM datang dan pergi, kesemua menteri yang datang itu kami kunjungi dan kami berbincang bagaimana nak tolong pondok tetapi oleh kerana perubahan demi perubahan sama ada menteri dari Barisan Nasional dulu ataupun menteri PH atau kemudiannya menteri sekarang semuanya kita berunding dan menteri memberi reaksi positif tetapi tidak deliver. Ia soal delivery!

Jadi JAKIM pun bermasalah tidak ada peruntukan yang cukup, katanya bagi kepada YADIM dan YADIM pun ada masalah dari segi nak deliver untuk beri kepada siapa atau kepada semua. Tetapi masalah utamanya adalah peruntukan terlampau sedikit dan tidak boleh membantu bilangan yang begitu besar.

Pondok-Pondok Ini Perlu Dipantau Di Bawah Satu Kaedah Penaziran

Kemudian, soal saya kata mesti ada kurikulum. Kita sudah buat beberapa konvensyen tentang Pondok ini dan kita buat kesimpulan perlu ada satu kumpulan atau gugusan pondok-pondok ini dan perlu dipantau di bawah satu kaedah penaziran supaya kita boleh meningkatkan kedudukan pondok-pondok ini ke arah yang lebih baik.

Malah, kami sentiasa mencadangkan kemahiran Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab perlu ada di pondok kerana kita mahu orang yang terlatih di pondok ini yang hatinya ikhlas supaya dapat jadi seperti orang di negara Turki sekarang misalnya iaitu boleh duduk di peringkat antarabangsa bukan setakat memimpin pondok sahaja, itu cerita zaman dahulu.

Misalnya, nak berkubu menentang penjajah, itu ok sahaja, tetapi apa yang kita nak cerita sekarang ini ialah supaya orang pondok kita keluar daripada kepompong, daripada kubu pertahanan pergi menyaingi sekolah-sekolah atau institusi di arus perdana.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, tujuan saya adalah untuk membantu pondok, tetapi malangnya disalah tafsir oleh kerana mereka berada di dalam kedudukan emosi yang tidak stabil maka sebab itu mereka mencakar tangan yang mahu menyelamatkan mereka itu yang sebenarnya mahu memberi pembangunan dan kemajuan terbaik yang sepatutnya telah pondok terima sejak lama dahulu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: