NGO

Kes Saman Malaysiakini: PEMBELA Kecam Campur Tangan Negara Amerika Syarikat, Britain Dan Kanada

Kenyataan Media PEMBELA

20 Februari 2021

Kes saman Malaysiakini: PEMBELA kecam campur tangan negara oleh Amerika Syarikat, Britain dan Kanada

1. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan gabungan NGO-NGO Islam utama di Malaysia berasa kesal atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat, Pesuruhjaya Tinggi Britain dan Kanada dalam kes mahkamah yang memutuskan Malaysiakini perlu membayar saman sebanyak RM500,000.

2. PEMBELA menegaskan bahawa prinsip kebebasan kehakiman perlulah dihormati oleh semua pihak terutamanya kerajaan negara-negara luar yang sepatutnya memahami perkara ini.

3. PEMBELA mempersoal di manakah suara-suara pihak luar ini dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan media lain di Malaysia? Kenapa mereka membisu tetapi melompat apabila ia melibatkan Malaysiakini? Sikap dwistandard ini menyebabkan integriti mereka ini boleh dipersoalkan.

4. Oleh itu, PEMBELA ingin mempersoal adakah wujudnya kepentingan tertentu oleh kerajaan-kerajaan negara luar ini terhadap Malaysiakini secara khususnya?

5. PEMBELA melihat campur tangan ini adalah suatu tindakan yang biadap dan mencabar kedaulatan negara Malaysia dari pelbagai aspek yang perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan Malaysia.

6. Akhir sekali, PEMBELA ingin mengingatkan semua pihak bahawa walaupun Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara, tetapi tidak mutlak. Perkara 10(2)(a) jelas memperuntukkan sekatan kepada sebarang penghinaan mahkamah dan Perkara 10(4) jelas memperuntukkan sekatan kepada isu-isu sensitif.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA

Ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my

 

 

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button