Tempatan

Kes Saman Indira Gandhi Terhadap KPN Diputuskan 1 Julai 2021

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2021 – Permohonan Ketua Polis Negara (KPN) untuk membatalkan saman oleh M.Indira Gandhi dan dua pihak lagi atas dakwaan polis gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anaknya, Prasana Diksa diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Julai ini.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menerusi prosiding dalam talian.

Indira turut memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah agar KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili pihak kerajaan, writ saman di Kuala Lumpur itu difailkan walhal pada masa yang sama Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak masih memantau progres pelaksanaan waran komital terhadap bekas suami Indira yang merupakan seorang mualaf.

“Indira tersilap memfailkan tindakan saman terhadap KPN sedangkan pelaksanaan perintah mandamus masih dalam pemantauan Mahkamah Tinggi Ipoh.”

“Remedi yang dimohon pada peringkat ini harus dibuat dalam permohonan semakan kehakiman di Ipoh, bukan di Kuala Lumpur.”

Tambahnya, bukan tugas KPN untuk mencari Prasana dan oleh yang demikian, Indira tidak boleh menuntut bahawa penderitaan yang ditanggung kerana terpisah dengan anaknya adalah akibat tindakan defendan-defendan.

Sehubungan itu, beliau memohon agar writ saman Indira dibatalkan atas alasan tuntutan itu tidak menyatakan klausa tindakan yang munasabah berkaitan `tort of nonfeasance’ di pejabat awam.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang dilarikan oleh bekas suami.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: