Tempatan

Kes Saman Fitnah: Shahabudin Mohon Kemaafan Ustaz Engku & Dr Khafidz Soroni

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 April 2022 – Ustaz Syihabuddin Ahmad, ataupun nama sebenarnya Mohd Shahabudin bin Md Yatim, baru-baru ini membuat permohonan maaf kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali dan Dr Mohd. Khafidz bin Soroni susulan kes saman fitnah baru-baru ini.

Menurut hantarannya di laman Facebook, isu ini timbul susulan videonya yang dimuatnaik ke laman YouTube berjudul “#71 Hadith Palsu Boleh Amal?”.

“Saya Ustaz Mohd Shahabudin Bin Md Yatim atau dikenali sebagai Syihabudin, TANPA LIABILITI, memohon maaf kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali dan Dr Mohd. Khafidz bin Soroni ke atas video saya yang telah dimuat naik di YouTube pada 18 Julai 2021 bertajuk “#71 Hadith Palsu Boleh Amal?” ujarnya.

YouTuber yang dikenali dengan kandungan ‘review isu agama’ ini memohon maaf atas kandungan yang seolah-olah menyatakan bahawa kedua ustaz di atas menyokong hadis palsu.

“Saya telah terkhilaf seolah-olah menyatakan bahawa Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali dan Dr Mohd Khafidz bin Soroni telah membela dan mempertahankan penggunaan hadis palsu sedangkan secara realitinya mereka tidak sedemikian, bahkan menolak hadis palsu,” ujarnya melalui permohonan maaf tersebut.

Hal ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet di mana seorang pengguna Facebook, Muhamad Afiq mempersoalkan kesahihan kandungan-kandungan lain YouTuber tersebut.

“Macam mana video-video beliau yang lain eh? Adakah terkhilaf juga? Bahaya, ini baru satu kes,” ujarnya.

Pada 25 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Ustaz Syahabudin untuk membuat permohonan maaf kepada Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali dan Dr Mohd Khafidz bin Soroni atas kenyataan bersifat fitnah tersebut.

Leave a Reply

Back to top button