Kes Rayuan Murtad MAIS Akan Diputuskan 8 Disember
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 30 November 2022 – Mahkamah Rayuan telah menetapkan 8 Disember sebagai tarikh memutuskan kes rayuan murtad Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri bagi mengembalikan agama Islam seorang wanita.
Perubahan tarikh tersebut berlaku susulan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan Isnin, 28 November sebagai cuti umum selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia Khamis lalu.
A Surenthra Ananth, peguam mewakili wanita berusia 35 tahun itu berkata, Mahkamah Rayuan memaklumkan perubahan tersebut pada Jumaat.
Sebelum ini, tarikh keputusan ditetapkan pada 13 September oleh Hakim Yaacob Md Sam selepas mahkamah mendengar hujahan lisan daripada peguam mewakili MAIS, Haniff Khatri Abdulla dan mewakili wanita itu, Malik Imtiaz Sarwar.
Menurut berita tempatan, wanita itu, pada asalnya menganut agama Hindu dan memeluk Islam secara unilateral oleh ibunya ketika masih kanak-kanak. Dia memeluk Islam pada 1991 semasa ibu bapanya berada di tengah-tengah perceraian, yang dimuktamadkan tahun berikutnya.
Ibunya kemudian berkahwin dengan lelaki Muslim pada tahun 1993 dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan tiga tahun selepas itu. Wanita itu berhujah bahawa ibu bapanya membenarkannya terus mengamalkan kepercayaan Hindu walaupun setelah bergelar seorang Muslim.
Bukan itu sahaja, dia turut mendakwa bahawa dia tidak mengucapkan kalimah syahadah ketika dia memeluk Islam. Sebaliknya, terus mengunjungi kuil Hindu dan meraikan perayaan agama itu bersama saudara-mara bapa kandungnya.
Mengulas lanjut, wanita itu telah memfailkan permohonan murtad di Mahkamah Tinggi Syariah pada tahun 2013, namun ditolak pada 2017. Wanita itu telah diarahkan untuk menghadiri sesi kaunseling dan rundingan akidah.
Pada Mei 2021, dia memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam memohon pengisytiharan bahawa dia bukan seorang Muslim. Wanita itu mendapat kebenaran mahkamah pada Disember tahun lalu.